WHAT'S NEXT

CATS UJUNG MINGGU

01.00pm - 04.00pm

JAMBATAN BALTIMORE RUNTUH: APA KITA PATUT TAHU

Sebahagian daripada rangka keluli Jambatan Francis Scott Key berada di atas kapal kontena Dali selepas jambatan itu runtuh di Baltimore, Maryland


Back To Whats Hot

MARYLAND: Jambatan Francis Scott Key di Baltimore, runtuh selepas pelanggaran oleh sebuah kapal kargo, semalam, menyaksikan beberapa kenderaan terhumban ke dalam sungai.

Pihak berkuasa memaklumkan setakat ini sekurang-kurangnya enam individu terdiri daripada pekerja pembinaan masih hilang dan dianggap maut, ketika pasukan mencari dan menyelamat bergelut dalam sisa runtuhan di bawah air. Beberapa kenderaan dipercayai terhumban ke dalam sungai

1. Apa yang berlaku di Baltimore dan bila?

● Kira-kira jam 1.27 pagi pada Selasa, sebuah kapal kargo melanggar beberapa struktur yang menyokong Jambatan Francis Scott Key di bandar yang terletak dekat Pantai Timur Amerika Syarikat (AS). Beberapa kereta yang melalui jambatan itu turut terhumban ke dalam Sungai Patapsco. Sekurang-kurangnya enam individu masih hilang.

● Kapal kargo dikenali sebagai Dali, memiliki panjang 300 meter. Ia kapal berdaftar di Singapura itu meninggalkan Baltimore pada jam 1 pagi untuk menuju ke Colombo, Sri Lanka. Dijangka, kapal itu tiba di Colombo pada 22 April ini.

● Dali disewakan oleh syarikat perkapalan Denmark, Maersk.

● Menurut laporan ABC News yang memetik sumber perisikan AS yang tidak didedahkan, kapal itu 'kehilangan pendorong' ketika ia meninggalkan pelabuhan. Anak kapalnya memberitahu pegawai Maryland bahawa mereka hilang kawalan ke atas kapal itu.

● Menurut Setiausaha Pengangkutan Maryland, Paul Wiedefeld, malim tempatan dan bukan anak kapal yang mengendalikan kapal kargo ketika kemalangan berlaku. Malim berkenaan dilatih untuk mengelak kemalangan seperti yang berlaku semalam.

● Pihak berkuasa memaklumkan kapal kargo itu membawa 22 anak kapal dan dua malim. Tiada laporan kecederaan direkodkan.

2. Di mana ia berlaku?

● Jambatan empat lorong sepanjang 2.6 kilometer (km) dinamakan sempena nama lelaki yang menulis perkataan Star Spangled Banner, lagu kebangsaan AS. Ia merentasi Sungai Patapsco di tenggara Baltimore tengah.

● Jambatan itu adalah sebahagian besar rangkaian jalan raya di sekitar Baltimore, sebuah bandar perindustrian di timur laut ibu negara AS, Washington DC.

● Jambatan itu membawa lebih 12 juta kenderaan komersial dan penumpang pada tahun lalu.

● Pelabuhan Baltimore mengendalikan mesin perladangan dan pembinaan, gula, gipsum dan arang batu, termasuk import serta eksport untuk firma pembuat kereta utama termasuk Nissan, Toyota, General Motors, Volvo, Jaguar dan Land Rover.

● Bagi pakar kapal kontena, Lars Jensen, beliau menyifatkan jambatan runtuh akan mewujudkan masalah besar di Pantai Timur AS kerana mengganggu import dan eksport negara itu.

3. Apa yang kita tahu mengenai individu di jambatan itu?

● Menurut pihak berkuasa, terdapat lapan orang berada di atas jambatan itu ketika perlanggaran berlaku. Daripada jumlah itu, enam masih tidak dapat dikesan. Mereka adalah sebahagian daripada kru pembinaan yang mengisi lubang di jambatan berkenaan.

● Jurucakap Bomba Bandar Baltimore, Kevin, Cartwright, berkata banyak kenderaan dan mungkin treler traktor terhumban ke dalam sungai.

● Kemalangan membabitkan korban besar-besar dan bomba mengesahkan bahawa operasi mencari dan menyelamat akan dilanjutkan selama beberapa hari.

● Menurut Ketua Jabatan Bomba Baltimore, James Wallace, mengesahkan setakat ini dua orang berjaya diselamatkan.

● Suhu air di Pelabuhan Baltimore mencatatkan kira-kira sembilan darjah Celsius, menjadikan operasi menyelamat mencabar.

● Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS memberi amaran, hipoterma mungkin berlaku dalam mana-mana suhu air di bawah paras 21 darjah Celsius.

● Menurut Universiti Minnesota, suhu di Baltimore sekarang boleh membuatkan seseorang hilang koordinasi pergerakan tangan dan jari dalam masa kurang lima minit, pengsan antara 30 hingga 60 mini, berkemungkinan boleh berenang antara tujuh hingga 40 minit sebelum keletihan dan mati dalam tempoh satu hingga tiga jam walaupun dalam badan terapung.

4. Adakah keadaan selamat sekarang? Apa status terkini di lapangan?

● Gabenor Maryland, Wes Moore, mengisytiharkan darurat. Setiausaha Pengangkutan AS, Pete Buttigieg, memaklumkan usaha menyelamat masih dijalankan dan pemandu di kawasan Baltimore harus mengikut panduan responden tempatan mengenai lencongan serta tindak balas.

● Lebih 40 kapal kekal dalam Pelabuhan Baltimore termasuk kapal kargo kecil, bot tunda dan kapal rekreasi, demikian menurut data daripada pembekal perkhidmatan penjejakan kapal dan analisis maritim, Marine Traffic.

● Pentadbiran Penerbangan Persekutuan pula bertindak menyekat pesawat daripada terbang di atas serpihan jambatan yang roboh itu.

● Wallace berkata perkhidmatan kecemasan menggunakan sonar, dron dan teknologi inframerah dalam operasi pencarian mangsa yang hilang dan kenderaan yang terhumban masuk ke dalam Sungai Patapsco.

● Penggunaan sonar dapat mengesan jejak kenderaan yang tenggelam dalam air.

● Ketika ini, kapal kargo masih berada di kawasan perlanggaran dan dalam keadaan stabil.

5. Apa yang berlaku seterusnya?

● Presiden AS, Joe Biden, mengesahkan tiada bukti menunjukkan kemalangan itu hasil tindakan yang disengajakan.

● Di pelabuhan, trafik digantung sehingga dimaklumkan kelak, menurut pihak berkuasa pengangkutan Maryland.

● Runtuhan itu hampir pasti akan mewujudkan igauan ngeri bagi sektor logistik negara itu selama berbulan-bulan atau kemungkinan berlarutan sehingga bertahun lamanya di Pantai Timur AS. Kemalangan itu menutup lalu lintas kapal di Pelabuhan Baltimore dan mengganggu lalu lintas kargo serta komuter.

● Senator Johnny Ray Salling berkata kehilangan jambatan ini akan memusnahkan seluruh kawasan serta seluruh Pantai Timur.

● Air surut lebih kurang dua jam lagi dan ia menjadi masa yang optimum untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat termasuk menyukarkan keadaan, kata wartawan Al Jazeera, Mike Hanna, yang berada di tempat kejadian.

6. Apa reaksi setakat ini?

● Datuk Bandar Baltimore, Brandon Scott, menyifatkan ia tragedi yang sukar dibayangkan dan kelihatan sama seperti adegan filem aksi. Beliau meminta usaha menyelamat diberi perhatian.

● Rumah Putih dalam satu kenyataan menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa kemalangan itu. Biden dan pegawai pentadbiran juga ada berhubung Gabenor Maryland dan Datuk Bandar Baltimore untuk menawarkan sebarang bantuan dari Kerajaan Persekutuan yang diperlukan.

● Dali disewakan oleh syarikat perkapalan Maersk pada masa kejadian, kata syarikat Denmark itu dalam satu kenyataan. Syarikat itu turut menzahirkan ucapan takziah terhadap mereka yang terjejas dengan kemalangan itu.

● Maersk memaklumkan pihaknya akan mengikuti dengan teliti siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa dan akan melakukan yang terbaik untuk pelanggannya.

● Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri As, Alejandro Mayorkas, turut mengesahkan tiada tanda-tanda perlanggaran kapal kargo itu adalah tindakan yang disengajakan.

Sumber: Berita Harian

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini