• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

KONFLIK PALESTIN-ISRAEL: PENDUDUK BIMBANG RAFAH KEHABISAN TEMPAT BERLINDUNG

Sejumlah penduduk Palestin berdiri dekat pagar sempadan dengan Mesir di Rafah, 24 Januari lalu - AFP


Back To Whats Hot

BANDAR GAZA - Tentera Rejim Zionis membedil bandar perlindungan terakhir di pinggir selatan Semenanjung Gaza Jumaat lalu, di mana penduduk yang kehilangan tempat tinggal terkepung di sepanjang pagar sempadan, lapor akhbar Palestine Chronicle.

Ratusan ribu penduduk Palestin bimbang mereka tiada tempat lagi untuk dituju untuk melarikan diri daripada serangan terbaharu Rejim Zionis di bandar Rafah.

Lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza kini kehilangan tempat tinggal dan hidup dalam keadaan bersesak di Rafah selepas tentera Israel menyerang Semenanjung Gaza pada 7 Oktober tahun lalu.

Berpuluh-puluh ribu penduduk wilayah Palestin itu tiba di selatan Semenanjung Gaza dengan mengangkut pelbagai barangan dan menolak anak-anak mereka di atas pedati sejak beberapa hari lalu.

Ia berlaku selepas tentera Israel melancarkan salah satu serangan terbesar ke atas bandar utama di selatan Gaza, Khan Yunis, minggu lepas.

Seorang ahli perniagaan dan bapa kepada enam orang anak, Emad, 55, mengulas mengenai pilihan yang perlu dilakukannya jika kereta kebal askar Zionis mengepung dan memenuhi lokasinya.

“Kami mempunyai dua pilihan iaitu sama ada berserah dan menunggu mati atau memanjat dinding (sempadan) untuk berlari ke Mesir.

“Sebahagian besar penduduk Gaza berada di Rafah. Jika banyak kereta kebal menyerbu kawasan ini, ia akan menjadi pembunuhan besar-besaran yang tidak pernah dilihat sebelum ini,” ujarnya.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata pada Khamis lalu bahawa askar Rejim Zionis akan menghapuskan pejuang-pejuang Palestin di Rafah.

Rafah adalah antara sebilangan kecil kawasan yang masih belum diserbu tentera Israel sejak ia melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza untuk menghapuskan Hamas ketika hampir empat bulan lalu.

Sebagai satu-satunya bahagian Gaza yang mempunyai akses kepada makanan terhad dan bantuan perubatan yang merentasi sempadan, Rafah dan kawasan berdekatan Khan Yunis telah menjadi kawasan lokasi perlindungan sementara penduduk.

Bagaimanapun, keadaannya kini bertambah buruk apabila penduduk mengalami masalah aliran lumpur yang tersumbat pada musim sejuk. 

Angin kuat dan suhu sejuk turut menambah kesengsaraan penduduk apabila ada khemah yang runtuh atau dipenuhi air hujan yang bertakung.

“Apa yang patut kami lakukan? Kami hidup dengan pelbagai kesengsaraan.

“Peperangan, kelaparan dan sekarang ini hujan,” kata ibu kepada lima anak, Um Badri. Dia berasal dari Bandar Gaza dan kini berlindung di Khan Yunis.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, anggota penyelamat tidak lagi dapat menghubungi mereka yang sakit dan cedera di lokasi peperangan di Khan Yunis, manakala jangkaan pertempuran sampai ke Rafah mungkin berlaku.

“Rafah diibaratkan seperti periuk tekanan yang akan meletus pada bila-bila masa. Kami bimbang memikirkan apa yang akan berlaku seterusnya,” kata jurucakap Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan, Jens Laerke.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini