WHAT'S NEXT

ANTAP BREAKFAST BABA'S

06.00am - 10.00am

KURUS BUKAN KERANA AMBIL 'BARANG' - NAIM DANIEL

Penyanyi yang kini popular dengan lagu Sumpah, Naim Daniel, menyangkal tanggapan konon dia mengambil bahan terlarang untuk mengawal berat badan


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang kini popular dengan lagu Sumpah, Naim Daniel, menyangkal tanggapan konon dia mengambil bahan terlarang untuk mengawal berat badan.

Kata artis berusia 21 tahun yang turut dikenali sebagai pelakon itu, dia masih waras dan takkan sekali-kali memudaratkan diri sendiri hanya untuk kurus.

“Saya ada terbaca komen warganet yang membuat spekulasi mengenai berat badan saya turun mendadak. Namun, saya memilih untuk tidak mudah melatah dengan andaian bukan-bukan. Apa yang penting, saya tidak mengambil bahan terlarang untuk menurunkan berat badan.

“Bukan sekadar membahayakan kesihatan, hati ibu juga pasti akan remuk jika saya mengambil ‘barang’ untuk tujuan berkenaan.

“Bukan apa, sikap yang terlalu fokus dengan kerja kadang kala menjadi punca saya lupa untuk makan mengikut waktu sepatutnya. Mereka yang mengenali saya pasti maklum mengenai sikap saya itu ketika bekerja,” katanya kepada BH Online.

Bukan sahaja di lokasi penggambaran, tegasnya, ada kala dia perlu dipaksa untuk menjamah makanan ketika berada di rumah

“Mungkin ramai yang tidak tahu, ada masanya saya masih disuap oleh ibu untuk makan,” katanya sambil menguntumkan senyuman

Sementara itu, Naim tampak selesa menapak dalam bidang nyanyian dengan identiti sendiri saat bersaing bersama beberapa artis muda lain seperti Haqiem Rusli, Aiman Tino dan Sufian Suhaimi.

Mengulas pertaruhan ketiganya menerusi Sumpah, Naim berkata, sambutan hangat diberikan peminat terhadap drama Pia yang dibintanginya bersama Zara Zya dan Alif Satar itu turut membantu populariti single terkininya.

Sumpah juga dipilih sebagai lagu tema naskhah siaran TV3 berkenaan.

“Drama itu banyak membantu menaikkan Sumpah, selain sokongan peminat dan insan terdekat, termasuk ibu yang tidak pernah jemu mempromosikan lagu itu di media sosial.

“Ketika merakamkan lagu ini, saya hanya mendoakan yang terbaik. Sekiranya ia gagal mendapat tempat di hati peminat, saya tidak kecewa. Sebaliknya, saya akan terus menghasilkan lagu hingga kemunculan saya sebagai penyanyi disedari ramai,” katanya.

Bercerita mengenai lakonan dalam drama terbabit, Naim bersyukur apabila wataknya sebagai orang kelainan upaya (OKU) menerima pujian ramai.

Sumber: Berita Harian