WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

TIADA TAWARAN DIBATALKAN, CUMA TANGGUH - RUHAINIES

Ruhainies tidak pasti sama ada dirinya bakal digam stesen televisyen atau sebaliknya


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR - Gelaran ‘penyondol’ dan kontroversi panas terjebak kes khalwat bersama Aliff Aziz tidak menjadi kudis kepada pelakon sensasi, Ruhainies.

Akuinya, drama lakonan bersama Aliff berjudul Terjerat juga tidak terjejas malah disempurnakan mengikut jadual.

Bagaimanapun, Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, mendedahkan, kebanyakan tawaran kerja ditangguhkan buat sementara waktu susulan kepanasan kontroversi melibatkan dirinya.

“Saya faham dan terima kerana isu pun tengah panas tetapi setakat ini tiada tawaran lakonan yang dibatalkan, sebaliknya cuma ditangguhkan saja.

“Penggambaran tetap berjalan macam biasa tetapi soal digam mahupun disenarai hitam setakat ini, kenyataan yang saya dapat perkara itu tidak akan berlaku.

“Jadi saya mohon doakan saya,” katanya yang ditemui di majlis rumah terbuka pereka fesyen, Fizi Woo di sini, malam tadi.

Tidak patah semangat, Ruhainies atau lebih mesra disapa Anis itu bersyukur komitmen bersama beberapa jenama antarabangsa yang sudah dipersetujui sejak awal berlangsung seperti biasa.

“Saya banyak kerjasama dengan jenama antarabangsa dan alhamdulillah setakat ini tidak terjejas sebab mereka bukan fokus kepada pengguna di sini saja tetapi di luar,” kongsinya dengan gembira.

Dalam masa sama, Ruhainies teruja berkongsi berita mengenai tawaran kerja yang melibatkan produksi luar negara seolah-olah satu hikmah selepas semua ujian yang datang.

“Benda yang jadi ternyata mempunyai hikmah tersendiri, tipulah kalau saya cakap langsung tidak terkesan apabila benda ini berlaku.

“Namun saya sentiasa percaya setiap ujian itu pasti ada hikmah dan alhamdulillah saya banyak terima tawaran dari negara seberang tetapi belum boleh nak cerita lanjut sebab masih dalam proses perbincangan.

“Cerita ini bukan setakat tular di Malaysia tetapi sampai ke luar negara juga, ke China pun. Cuma saya mohon doa daripada semua agar nama saya tak terjejas disebabkan kontroversi ini,” jelasnya lagi.

Krisis Aliff dan Ruhainies mula menjadi perbualan ramai apabila mereka ditangkap khalwat di sebuah kondominium mewah pada 9 Mac lalu.

Tidak lama selepas itu, muncul pula seorang wanita Singapura, Sarah Yasmine yang mengaku menjalin hubungan cinta dengan Aliff sejak Januari lalu.

Keadaan menjadi bertambah kecoh apabila Sarah menyebarkan perbualan WhatsApp antara Aliff dan Ruhainies yang mendakwa mereka bercinta, selain dikatakan menggunakan Aliff untuk menjatuhkan Bella.

Sumber: Kosmo Online!
Oleh NUR AL-FAIRUZA SYARFA NOR SAIDI
 
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini