WHAT'S NEXT

ULANGAN CATS 30

08.00pm - 11.00pm

GENCATAN SENJATA TEMUI JALAN BUNTU

Kanak-kanak bermain berhampiran perkampungan khemah yang menempatkan pelarian Palestin di Rafah, selatan Gaza pada 30 April lalu - AFP


Back To Whats Hot

BANDAR GAZA - Seorang pegawai kanan Hamas menegaskan bahawa pihaknya tidak akan menerima gencatan senjata tanpa penamatan sepenuhnya perang di Gaza dan menuduh pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu sengaja mengelakkan persetujuan daripada dicapai.

Perunding Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat menemui delegasi Hamas di Kaherah kelmarin dalam usaha terbaharu untuk menghentikan perang yang berlanjutan selama hampir tujuh bulan itu.

Mereka mahu mendengar maklum balas Hamas berhubung usul menghentikan pertempuran selama 40 hari dan menukar tebusan Israel dengan tahanan Palestin, demikian menurut butiran yang disiarkan oleh Britain.

Bagaimanapun, pegawai Hamas bertegas bahawa kumpulan itu ‘tidak akan bersetuju dalam apa jua situasi’ terhadap gencatan senjata yang tidak merangkumi pengakhiran menyeluruh perang di samping pengunduran Israel dari Semenanjung Gaza.

Pegawai yang enggan namanya disiarkan itu mengutuk usaha Israel untuk memuktamadkan pembebasan tebusan tanpa mengaitkannya dengan pengakhiran keganasan Rejim Zionis di Semenanjung Gaza.

Beliau menuduh Netanyahu sengaja menyekat usaha mencapai gencatan senjata ‘demi kepentingan peribadi’.

Di sebalik usaha diplomasi selama berbulan-bulan, pasukan perunding gagal mencapai persetujuan gencatan senjata baharu seperti gencatan selama seminggu yang menyaksikan seramai 105 tebusan Israel dan sejumlah tahanan Palestin dibebaskan pada November tahun lalu.

Rundingan sebelum ini tergendala, antara lain, disebabkan oleh tuntutan Hamas kepada gencatan senjata berkekalan dan kedegilan Netanyahu untuk menghapuskan saki baki pejuang Palestin itu di bandar paling selatan Gaza, Rafah.

Israel juga masih belum menghantar delegasinya ke Kaherah. Seorang pegawai Israel memberitahu AFP bahawa pihaknya hanya akan berbuat demikian sekiranya usul terbaru tersebut mendapat maklum balas positif.

“Rundingan yang sukar dan panjang dijangka untuk mencapai persetujuan (gencatan senjata),” katanya.

Dalam perkembangan sama, sumber kanan Hamas memberitahu AFP bahawa mereka menyambung rundingan gencatan senjata itu semalam.

Perang di Gaza tercetus selepas pejuang-pejuang Hamas melancarkan serangan rentas sempadan ke selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang menyaksikan kira-kira 1,170 orang terbunuh, demikian menurut angka AFP dan Israel.

Serangan balas Rejim Zionis ke atas Hamas pula meragut nyawa sekurang-kurangnya 34,654 penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dengan kebanyakan mangsa merupakan wanita dan kanak-kanak.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 70 peratus bangunan kediaman di Gaza telah musnah sepenuh atau sebahagiannya, manakala pembinaan semula memerlukan usaha yang belum pernah berlaku sejak Perang Dunia Kedua.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula berkata, seramai 1.2 juta orang atau separuh populasi Gaza kini berlindung di Rafah.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini