• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

'BERILAH THE GADYS PELUANG' - NELISSA NIZAM

The Gadys teruk dikecam baru-baru ini kerana didakwa gagal menyanyi dengan baik - Sumber Foto IG The Gadys


Back To Whats Hot

Kuala Lumpur: Pelakon, Nelissa Nizam sedih apabila kumpulan The Gadys menerima kecaman teruk netizen berikutan kegagalan menyanyi dengan baik dalam satu program hiburan, baru-baru ini.

Nelissa yang juga bekas anggota asal The Gadys berkata, perkara sudah terjadi, namun dia mengharapkan semua pihak memberikan peluang kepada The Gadys untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada mereka dan menjadi lebih baik.

"Apabila tengok mereka kena kecam sebegitu rupa, memang sedih jugalah. Bagaimanapun bukanlah posisi saya untuk bercakap apa-apa sebab saya bukan lagi ahli kumpulan itu.

"Saya percaya mereka sudah memberikan yang terbaik pada malam itu. Tak kisahlah orang nak cakap apa pun sebab mereka boleh menyanyi di atas pentas, jadi diharapkan perkara ini menjadi pembakar semangat buat mereka.

"Malah penyokong pun tidaklah kecam terlalu hebat dan beri peluang untuk mereka belajar menjadi lebih bagus," katanya kepada Harian Metro.

Nelissa yang pernah merakamkan lagu Gadys Raya bersama The Gadys pada 2022 berkata, dia percaya rakan-rakannya kuat untuk berhadapan dengan semua dan diharapkan mereka tidak berputus asa, pada masa sama memperbaiki kualiti masing-masing.

Terdahulu, The Gadys yang dianggotai oleh Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Chan tular selepas video persembahan lagu medley Cintaku Sampai Ke Ethiopia nyanyian asal Ria Resty Fauzi, Cinta Sampai Mati (Raffa Affar), dan Gadis Dan Bunga (Rahimah Rahim) di KNKV Viral Award 2024, baru-baru ini dianggap terlalu teruk dan merosakkan industri hiburan tanah air.

Persembahan ini turut disiarkan di TV menerusi saluran TV2 RTM.

Wakil pengurusan memaklumkan mereka berdepan masalah teknikal yang menjejaskan persembahan.

Dalam pada itu, Nelissa juga memuji rakan-rakannya apabila tetap meneruskan persembahan walaupun ada kesilapan teknikal.

"Itu yang saya puji, mereka tetap teruskan persembahan dan saya harap kita boleh lihat lebih banyak persembahan dari The Gadys selepas ini.

"Ada hikmah semua ini, perkara ini boleh dijadikan sebagai batu loncatan. Saya pula mengundur diri dari The Gadys kerana mahu fokus pada lakonan.

"Mereka pun faham, ketika itu saya ada tiga filem 'back to back', itu yang saya keluar. Kasihan pada mereka kalau saya dalam kumpulan itu sebab mereka kena ikut jadual saya jadi saya putuskan untuk undur diri dan saya akui pilihan itu agak susah juga," katanya.

Menurutnya, mereka sangat memahami situasinya kerana sama-sama bermula dari bawah dan sama-sama dikenali selepas itu.

"Saya pernah 'perform' beberapa kali dengan mereka. Ketika kami bersama kami juga ada menghadiri kelas vokal dan syukur tiada apa-apa kecaman sebelum ini.

"Saya dengan mereka tidak pernah masalah sebab mereka kawan yang baik," katanya yang kini berada di Switzerland.

Sumber: Harian Metro
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my
 
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini