WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

AMIR MASDI TERPAKSA BOHONG KELUARGA UNTUK ‘HIDUP’

Penyanyi Amir Masdi mendedahkan terpaksa berbohong terhadap orang tuanya demi kelangsungan karier dalam dunia seni tanah air


Back To Whats Hot

PETALING JAYA - Penyanyi Amir Masdi mendedahkan terpaksa berbohong dengan kedua ibu bapanya bahawa dia tidak mendapat sesen pun bayaran membuat persembahan pentas, sewaktu awal pembabitannya dalam bidang seni.

Malah, untuk mengaburi mata mereka, Amir atau nama lengkapnya Amir Syazwan Masdi terpaksa tidur di studio, seolah-olah dia sedang sibuk kerana mendapat banyak tawaran menyanyi.

“Perkara ini saya tidak pernah ceritakan pada sesiapa, malah ibu bapa saya sendiri pun tidak tahu. Ketika awal-awal bergelar artis, selepas selesai sahaja membuat persembahan, saya akan tanya pengurus soal bayaran.

“Tapi pengurus cakap tidak ada (bayaran). Pergi sana sini, menyanyi banyak lagu tapi percuma sahaja. Ketika itu saya fikir macam inikah nasib penyanyi yang mana bersusah payah menyanyi tapi tidak ada bayaran,” katanya dalam program SYOK podcast – Confession Bilik Gelap Musim Keempat, baru-baru ini.

Ujar juara program Akademi Fantasia 2016 itu lagi, setiap kali pulang ke rumah, ibu bapanya akan gembira kerana menyangka dia mendapat bayaran kerana dihujani dengan banyak tawaran membuat persembahan.

Namun hakikatnya, dalam hati hanya dia sendiri yang tahu dan terpaksa memendam kenyataan sebenarnya kerana enggan orang tuanya risau.

“Apa yang sedihnya, balik rumah mak ayah gembira sebab saya ada ‘show’ dan mestilah mereka fikir dapat bayaran. Kalau mereka tanya, saya hanya cakap ada. Dalam hati saya sendiri yang tahu. Saya tidak mahu mereka risau. Jadi, saya pendam saja.

“Saya tidak mahu terkurung di rumah dan menganggu fikiran kerana tidak bekerja. Jadi, saya memilih untuk berada di studio agar kelihatan sibuk dan banyak kerja, selain mahu mengelak ditanya oleh ibu bapa.

“Pendek kata, saya sebenarnya sibukkan diri untuk kaburi pandangan keluarga. Tetapi dalam masa sama, di studio saya nak dapatkan pendedahan dan belajar banyak perkara berkaitan muzik,” katanya.

Amir yang popular menerusi lagu Debu itu bagaimanapun terpaksa tabah dan perlu sentiasa berfikiran positif dengan memujuk diri, apa yang berlaku adalah sebagai pengalaman untuk dia memperbaiki diri.

“Waktu itu saya cakap pada diri, ini adalah platform (menyanyi) untuk saya timba pengalaman dan memperbaiki diri.

“Ini adalah ujian, saya ambil sebagai halangan yang perlu hadapi. Mungkin masa itu saya dapat pengalaman dan pendedahan,” katanya.

Sebelum ini, Amir, 28, pernah dua kali menjadi finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) iaitu menerusi lagu Kau Sakiti pada AJL35 dan Debu duet bersama Dayang Nurfaizah pada AJL37. Selain itu, Amir juga menjadi naib Juara pada program The Masked Singer Malaysia musim kedua.

Lebih membanggakan juga, Amir berjaya melancarkan album sulungnya berjudul Amir Masdi tahun lalu serta mengadakan siri jelajah album itu di seluruh negara.

Sumber: Kosmo Online!
Oleh MOHAMMAD SHAHEMY AZMI
 
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini