WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

IZINKAN SAYA MENJADI RAJA DI HATI RAKYAT-TITAH AL-SULTAN ABDULLAH

Era pemerintahan Al-Sultan Abdullah selama lima tahun menyaksikan episod penuh warna warni apabila berlaku pelbagai peristiwa


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR, 29 Jan: "Selepas bulan Januari ini, mungkin saya bukan lagi Raja kepada Malaysia, tapi jika diizinkan, hasrat saya ialah untuk menjadi Raja di hati anda semua," titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Biarpun tidak lagi menjadi Yang di-Pertuan Agong dan akan berangkat balik ke Kuantan sebagai Sultan Pahang selepas bersemayam di singgahsana negara sejak 31 Januari 2019, namun Seri Paduka mahu rakyat Malaysia terus bersatu padu dan bekerjasama memajukan Malaysia.

"Saya harap rakyat terus bermuhasabah dan memberi segala kerjasama untuk memajukan dan meningkatkan ekonomi negara kita dan menyatukan rakyat kita semua kaum, semua peringkat dan bersyukur dan terus bersyukur," titah Al-Sultan Abdullah.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian dalam wawancara hampir dua jam bersama editor dan wartawan kanan media utama sempena tamat tempoh pemerintahan di Istana Negara baru-baru ini, yang turut dihadiri Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"Saya ucap terima kasih kepada semua media sepanjang saya berada di Istana Negara, minta maaf kalau ada kekurangan dan saya begitu bersyukur," titah Seri Paduka.

Era pemerintahan Al-Sultan Abdullah selama lima tahun menyaksikan episod penuh warna warni apabila berlaku pelbagai peristiwa termasuk penularan pandemik Covid-19 dan pertukaran empat Perdana Menteri dengan Jemaah Menteri berlainan, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia sebelum ini.

Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, namun Seri Paduka dilihat kekal tenang menghadapinya dan menyelesaikan permasalahan yang timbul dengan bijaksana (wisdom), bak menarik rambut di dalam tepung.

"Alhamdulillah, saya dididik supaya banyak bersabar. Kita bila sembahyang banyak berzikir. Saya bukan nak kata saya begitu warak tapi amalan yang kita buat selama ini mententeramkan. Sebenarnya kalau kita sudah biasa dengan amalan kita, semua ini serah pada Allah. Insya-Allah, hidayah akan datang dengan sendirinya…,'' titah Yang di-Pertuan Agong.

Berkongsi rahsia kekal tenang, Al-Sultan Abdullah bertitah pemimpin di peringkat mana sekali pun perlu ada sifat sabar dalam mengendalikan apa jua masalah, muhasabah selain membuat keputusan yang pantas.

Mengulas pengalaman memayungi pentadbiran empat Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Al-Sultan Abdullah bertitah kesemuanya mempunyai kelebihan tersendiri.

"Empat Perdana Menteri itu semua berpengalaman, tengok latar belakang mereka dalam kerajaan sebelum ini. Saya tanya diri saya siapalah saya, mereka ni semua dah berpengalaman, saya tak berpengalaman.

"Saya jadi Sultan (Pahang) 15 hari sahaja, terus jadi Agong. Saya dah berbelas tahun (menjadi) Tengku Mahkota, 15 hari (dimasyhur sebagai Sultan Pahang) baru jadi Agong. Banyak benda yang saya tak tahu, jadi saya terpaksa bertanya, mempelajari, membaca supaya saya dapat menjawab segala soalan sedikit sebanyak," titah Seri Paduka.

Secara keseluruhan, tempoh pemerintahan selama lima tahun disifatkan Al-Sultan Abdullah sebagai sangat mencabar, namun banyak memberi kenangan manis.

Sumber: BERNAMA

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini