WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

KONFLIK PALESTIN-ISRAEL: ISRAEL KEMUKA CADANGAN GENCATAN SENJATA 2 BULAN

Penduduk Palestin berpindah dari bandar Khan Yunis ke Rafah di selatan Gaza kelmarin - AFP


Back To Whats Hot

BANDAR GAZA - Hamas sedang memperhalusi cadangan yang dikemukakan Israel untuk melaksanakan jeda pertempuran sehingga dua bulan di Semenanjung Gaza sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk membebaskan semua tebusan di wilayah Palestin itu.

Laman berita Axios ketika mendedahkan perkara itu dengan memetik dua sumber pegawai Israel berkata, perjanjian tersebut akan berlaku dalam beberapa peringkat.

Fasa pertama bakal menyaksikan pembebasan tebusan wanita dan lelaki yang berusia 60 tahun serta tahanan yang memerlukan rawatan perubatan kritikal.

Cadangan fasa kedua adalah melibatkan pembebasan askar-askar Rejim Zionis yang ditawan serta tebusan lelaki bukan askar yang berusia bawah 60 tahun di samping mayat-mayat tahanan.

Menurut pegawai berkenaan, kesemua fasa tersebut dijangka mengambil masa sehingga 60 hari sepanjang gencatan senjata berlangsung.

Dalam masa sama, perjanjian berkenaan akan turut menyaksikan pembebasan sebilangan tahanan Palestin yang kini ditahan di penjara Israel.

Zionis bagaimanapun tidak menyatakan jumlah tahanan Palestin yang akan dibebaskan namun mendakwa, ia bersedia membebaskan ‘sejumlah besar’ tahanan.

Pegawai yang sama bagaimanapun menegaskan bahawa cadangan tersebut tidak termasuk perjanjian untuk menamatkan perang, sebaliknya hanya jeda pertempuran.

Bagaimanapun, beberapa pegawai Amerika Syarikat (AS) memberitahu Axios bahawa perjanjian seumpama itu mungkin membuka laluan kepada gencatan senjata di Gaza.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House, John Kirby berkata kepada wartawan kelmarin bahawa Presiden Joe Biden menyokong jeda pertempuran yang akan membolehkan pembebasan tebusan serta kemasukan lebih banyak bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Cadangan tersebut adalah sebahagian daripada perbincangan berterusan yang berlaku antara Israel dan Hamas dengan Qatar dan Mesir menjadi perantara.

Perjanjian tersebut antara lain menyebut bahawa Rejim Zionis akan mengurangkan bilangan askarnya di bandar-bandar utama Gaza bagi membolehkan orang awam kembali ke utara wilayah itu.

Mereka juga mendakwa bahawa operasi ketenteraan di Gaza akan dikecilkan dari segi skala selepas dua bulan gencatan senjata sementara dilaksanakan.

Pegawai Israel berkata, ia ketika ini sedang menanti maklum balas daripada Hamas, namun menekankan bahawa mereka optimis dan berhati-hati berhubung keupayaan untuk melihat perkembangan positif dalam beberapa hari akan datang.

Kira-kira 250 tebusan Israel ditahan di Gaza sejak serangan berdarah 7 Oktober 2023, namun sehingga kini, 132 masih berada di wilayah itu.

Ia termasuk mayat sekurang-kurangnya 28 tebusan, demikian menurut agensi berita AFP berdasarkan kiraan data seperti didakwa Israel.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini