WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

KONFLIK PALESTIN-ISRAEL: SETIAP SEORANG PENDUDUK GAZA KELAPARAN

Sejumlah penduduk menunggu makanan dimasak di Rafah pada Disember tahun lalu - Sumber Foto AFP


Back To Whats Hot

BANDAR RAYA NEW YORK - Sebanyak 80 peratus daripada penduduk dunia yang berdepan kebuluran atau krisis kelaparan melampau terdiri daripada penduduk Gaza, demikian menurut amaran sekumpulan pakar bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti dilaporkan akhbar Arab News.

Pendedahan itu dibuat ketika badan tersebut mengetengahkan ancaman meningkat krisis kemanusiaan di wilayah Palestin itu, di tengah-tengah serangan berterusan tentera Israel.

“Ketika ini, setiap seorang penduduk Gaza kelaparan. Suku penduduknya kebuluran dan bergelut untuk mencari makanan dan air minuman,” kata kumpulan pakar hak-hak asasi manusia itu.

Antara mereka ialah Utusan Khas Britain mengenai Situasi Hak-Hak Asasi Manusia Wilayah Palestin Sejak 1967, Francesca Albanese; Utusan Khas Keganasan Menentang Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan, Reem Alsalem dan Utusan Khas Hak-Hak Asasi Manusia terhadap Minuman Selamat dan Sanitasi, Pedro Arrojo Agudo.

Tambah mereka, kekurangan zat yang mencukupi dan penjagaan kesihatan membahayakan  wanita-wanita hamil dan bayi yang belum dilahirkan.

Semua kanak-kana berusia bawah lima tahun atau bersamaan kira-kira 335,000 orang, lebih cenderung untuk menerima kesan pemakanan tidak seimbang ketika ancaman kelaparan semakin serius.

Pakar-pakar itu menyuarakan kebimbangan bahawa keseluruhan generasi berisiko mengalami bantut iaitu keadaan yang disebabkan masalah mendapatkan makanan berkhasiat. Ia sekali gus menghalang perkembangan tumbesaran kanak-kanak.

Keadaan itu seterusnya menjejaskan bentuk fizikal dan kognitif sekali gus memberikan ancaman signifikan terhadap kemampuan pembelajaran.

Tambah laporan berkenaan, kebanyakan daripada bantuan kemanusiaan kini bertumpu di selatan Gaza.

Setakat 1 Januari lalu, hanya 24 penghantaran bekalan termasuk makanan telah dihantar ke Wadi Gaza, utara wilayah Palestin tersebut.

Sementara itu, di selatan Gaza, sejumlah besar penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini mendapatkan perlindungan di kawasan kekurangan kemudahan asas sekali gus memburukkan lagi masalah yang wujud akibat keadaan tempat tinggal tidak selesa.

“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini di mana keseluruhan orang awam lapar.

“Israel memusnahkan sistem makanan Gaza dan menggunakannya sebagai senjata menentang penduduk Palestin,” kata pakar-pakar berkenaan.

Selain itu, mereka turut menuduh Israel memusnahkan akses ke ladang dan laut dengan menyatakan bahawa askar Rejim Zionis merosakkan 22 peratus tanah pertanian dan kemudahan di wilayah Palestin itu.

Kemusnahan turut meliputi rumah hijau di utara Gaza dan 70 peratus bot nelayan.

“Malah, walaupun bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk, penduduk masih kekurangan makanan dan bahan api untuk memasak.

“Banyak kedai roti tidak beroperasi disebabkan kekurangan bahan api, air dan tepung di samping kerosakan struktur bangunan,” kata mereka.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini