WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

GELOMBANG HABA JEJAS KANAK-KANAK DI SELURUH DUNIA MENJELANG 2050

Seorang lelaki mengepam air untuk kanak-kanak menyejukkan badan mereka ketika cuaca panas di wilayah Balochistan, Pakistan pada 9 Mei lalu. – AFP


Back To Whats Hot

BANDAR RAYA NEW YORK – Laporan baharu Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan bahawa gelombang haba akan memberi kesan buruk terhadap hampir semua kanak-kanak menjelang pertengahan abad ini, lapor agensi berita United Press International kelmarin.

Amaran pada Selasa lalu itu menyatakan, kanak-kanak di seluruh dunia iaitu lebih dua bilion orang akan terdedah kepada gelombang haba dengan lebih kerap dan lama menjelang 2050.

Ketika kanak-kanak di hemisfera utara dijangka mengalami kesan lebih dramatik, hampir separuh kanak-kanak di Benua Afrika dan Asia berdepan pendedahan berterusan kepada suhu ekstrem melebihi 32 darjah Celsius, demikian menurut UNICEF.

“Krisis iklim merupakan krisis hak kanak-kanak dan ia sudah pun membawa kesan buruk kepada kehidupan dan masa depan mereka,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell.

Tambah Russell, kebakaran hutan dan gelombang haba di India, Eropah dan Amerika Utara merupakan satu lagi contoh  kesan serius perubahan iklim kepada kanak-kanak.

Data baharu yang diterbitkan dalam laporan UNICEF bertajuk The Coldest Year of the Rest of Their Lives itu turut mendedahkan bahawa kanak-kanak berdepan risiko besar akibat haba ekstrem.

Ini kerana golongan tersebut kurang mampu mengawal suhu badan mereka berbanding orang dewasa, menjadikan mereka lebih terdedah kepada masalah pernafasan kronik, asma dan penyakit berkaitan kardiovaskular.

Laporan sama juga mendapati, meskipun pelepasan gas rumah hijau sekarang lebih rendah, suhu dunia diramal meningkat sekitar 1.7 darjah Celsius pada 2050 dan berkemungkinan terus naik sehingga 2.4 darjah Celsius dengan senario pelepasan gas rumah hijau yang amat tinggi.

UNICEF menggunakan data dalam laporan tersebut untuk menggesa semua negara agar menjadikan kanak-kanak sebagai fokus dalam membuat keputusan berkaitan iklim pada masa hadapan.

Sumber: Kosmo Online!

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini