• LISTEN NOW ON AIR

    12/01/21 - 12/01/21

WHAT'S NEXT

12/01/21 - 12/01/21

SARAWAK CARI PENDEKATAN PUJUK MASYARAKAT PENAN TERIMA VAKSIN

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sedang mencari pendekatan sesuai untuk memujuk masyarakat Penan


Back To Whats Hot

Miri: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sedang mencari pendekatan sesuai untuk memujuk masyarakat Penan di pedalaman Ulu Baram yang enggan menerima vaksin Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah berkata, bagi memastikan kelancaran usaha itu, kerajaan akan terus meminta bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat di kawasan terbabit untuk mencari jalan bagi meyakinkan masyarakat minoriti itu terhadap program imunisasi.

Menurutnya, kerajaan melaksanakan pelbagai kaedah bagi memastikan masyarakat Penan menerima suntikan vaksin Covid-19 termasuk menyediakan vaksin dos tunggal, CanSino bagi memudahkan mereka.

"Vaksin dos tunggal ini adalah pilihan yang terbaik untuk mereka yang tinggal jauh di pedalaman seperti masyarakat Penan.

"Penggunaan vaksin CanSino juga memudahkan kakitangan perubatan kerana tidak perlu datang dua kali ke kawasan penempatan mereka," katanya.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata demikian ketika menghadiri taklimat Jabatan Kesihatan mengenai program dos penggalak dan program vaksinasi remaja di Kampus Universiti Curtain di sini, hari ini.

Uggah sebelum itu dimaklumkan oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Miri, Dr Raviwharmman mengenai masalah yang dihadapi untuk melaksanakan program imunisasi terhadap masyarakat Penan itu.

"Dr Raviwharmman memberitahu saya bahawa Jabatan Kesihatan Miri sudah enam kali mencuba untuk memujuk agar mereka bersetuju untuk divaksinasi.

"Usaha itu termasuk dilakukan oleh pegawai kerajaan, wakil rakyat, pemimpin masyarakat yang berpengaruh, NGO dan pertubuhan agama untuk meyakinkan mereka, namun ia masih belum berhasil," katanya.

Uggah berkata, walaupun tidak menghadapi masalah untuk menerima rawatan atau prosedur perubatan yang lain, namun masyarakat Penan itu enggan menerima suntikan.

"Mereka akan melarikan diri ke hutan apabila pasukan vaksinasi tiba di penempatan mereka, sekali gus ini menjadi cabaran yang besar untuk memastikan kelancaran program imunisasi di negeri ini," katanya.

Sumber: Harian Metro
oleh Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my