• LISTEN NOW ON AIR

    RUAI CATS

    01.00pm - 04.00pm

WHAT'S NEXT

GENG PETANG CATS

04.00pm - 08.00pm

KERAJAAN SARAWAK KENAL PASTI TEMPAT MEMERLUKAN KEMUDAHAN BANK BERGERAK - UGGAH

Kerajaan negeri menerusi satu jawatankuasa akan mengenal pasti mana-mana tempat di negeri ini yang memerlukan kemudahan bank bergerak


Back To Whats Hot

KUCHING: Kerajaan negeri menerusi satu jawatankuasa akan mengenal pasti mana-mana tempat di negeri ini yang memerlukan kemudahan bank bergerak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Ketua Menteri telah meluluskan peruntukan untuk membolehkan bank yang bersedia bekerjasama untuk melaksanakan perkhidmatan bank bergerak. 

“Bukan sahaja di Pusa, tetapi kita juga akan melihat tempat lain yang ada kesulitan untuk mendapatkan kemudahan kewangan terutama untuk keluarkan Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Khas Sarawakku Sayang dan sebagainya. 

“Ia kini dalam proses. Saya akan dapat butiran terperinci dan maklumkan kepada anda esok, lokasi serta bila boleh beroperasi,” ujarnya pada sidang media harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di sini hari ini. 

Mengenai saranan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar kerajaan merapatkan jurang pembangunan dan ekonomi antara negeri dan wilayah, Uggah berkata ia sudah dalam agenda kerajaan negeri.

“Jika anda dengar baik-baik (pembentangan) Bajet tahun ini, itu antara yang ditekankan. Pertama rapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar. 

“Kedua, rapatkan jurang wilayah antara Semenanjung dan Sarawak dan ketiga cuba basmi kemiskinan. Sebab itu Ketua Menteri telah meluluskan sejumlah bajet yang besar untuk tentukan bahawa kawasan yang belum ada elektrik, air dan jalan raya dibekalkan dengan kemudahan ini,” katanya. 

Tambah Uggah, Sarawak turut menubuhkan beberapa agensi pembangunan seperti Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA). 

Semua agensi ini katanya adalah strategi kerajaan negeri bagi memastikan Sarawak dapat mengejar pembangunan yang setanding dengan Semenanjung Malaysia. 

“Jadi, apa yang disarankan Yang di-Pertuan Agong dalam titahnya ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini adalah sudah dalam agenda kita. 

“Malah baru-baru ini Ketua Menteri telah mengumumkan satu model ekonomi, pasca COVID-19 bagi menentukan kehidupan, kebajikan dan ekonomi rakyat serta negeri dapat dirangka, dirancang dengan baik,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo
oleh Agnes Tugong