WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

PELAJAR DIHANTAR PULANG

Para pelajar diuruskan oleh pihak UNIMAS untuk penghantaran pulang ke tempat asal masing-masing


Back To Whats Hot

KUCHING: Seramai 535 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak telah dihantar pulang ke destinasi masing-masing pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Menurut kenyataan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), proses penghantaran pulang pelajar pada hari Jumaat sahaja melibatkan 465 pelajar manakala hari Sabtu seramai 70 pelajar telah dihantar pulang.

"Daripada jumlah tersebut, 278 pelajar dihantar pulang  menggunakan pengangkutan udara menuju ke destinasi di Semenanjung Malaysia.

"Manakala baki seramai 257 orang lagi menggunakan pengangkutan darat ke destinasi seperti Miri, Bintulu, Sarikei dan Betong," kata kenyataan itu.

UNIMAS bertindak sebagai koordinator untuk menyelaras pengangkutan bagi program menghantar pulang para pelajar IPT di Sarawak ke bahagian dalam Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Ia dilaksanakan selepas mereka menetap di dalam kampus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lepas.

Tambahnya, semua pelajar hanya dibenarkan menyertai program penghantaran pulang selepas menjalani saringan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.

Manakala semua bagasi milik pelajar yang dibawa juga dijalankan sanitasi sebelum dibawa masuk ke dalam pengangkutan yang telah disediakan pihaknya untuk kerja penghantaran pulang.

Proses penghantaran pulang pelajar tersebut jelasnya, turut mendapat bantuan dan kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang membantu mensanitasikan bas sebelum pelajar memasukinya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu memastikan prosedur operasi standard (SOP) seperti amalan penjarakan sosial dan pemakaian topeng mulut dan hidung dipatuhi sepanjang masa.

Selain itu, sepanjang perjalanan pulang, pelajar ditemani seorang pegawai perhubungan UNIMAS dan dua pemandu bas yang ditugaskan mengikuti perjalanan terbabit sehingga ke destinasi yang dituju.

Pelajar-pelajar berkenaan juga tidak dibenarkan melakukan sebarang perubahan tempat duduk di dalam bas atau mengubah laluan destinasi asal mereka.

Sumber: Utusan Borneo