WHAT'S NEXT

CATS 30

10.00am - 01.00pm

JUMLAH TANGKAPAN INGKAR PKP DI SARAWAK MENURUN SEJAK 25 APRIL

Jumlah tangkapan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri menurun sejak beberapa hari lepas


Back To Whats Hot

KUCHING: Jumlah tangkapan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri menurun sejak beberapa hari lepas jelas menunjukkan masyarakat semakin memberi kerjasama dan mematuhi PKP.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata penurunan jelas direkodkan dari 93 tangkapan pada 25 April, menurun kepada 63 tangkapan pada 26 April, 56 tangkapan pada 27 April dan 28 April sehingga 8 pagi hari ini mencatatkan 52 tangkapan.

Menurutnya, jumlah tangkapan tersebut direkodkan dalam tempoh 24 jam dari 8 pagi setiap hari berdasarkan daerah-daerah di seluruh negeri.

"Berdasarkan jumlah tangkapan yang semakin berkurangan sejak 25 April jelas menunjukkan kepatuhan masyarakat di negeri ini bertambah baik.

"Nasihat saya agar masyarakat terus menunjukkan sikap bertanggungjawab dan memberi kerjasama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya juga, pihaknya akan lebih tegas lagi dalam operasi penguatkuasaan PKP yang memasuki fasa keempat bermula hari ini.

"Operasi akan lebih ketat lagi, di mana polis akan bertindak tegas dan menangkap mereka yang masih berdegil dan tidak mematuhi PKP," katanya.

Difahamkan, jumlah kenderaan yang banyak di jalan raya dari jam 7 pagi hingga 7 malam adalah kebanyakannya orang ramai yang bekerja untuk perkhidmatan perlu dan mempunyai alasan-alasan munasabah.

"Pergerakan kenderaan terutama di laluan yang ada sekatan jalan raya menjadi perlahan kerana anggota yang bertugas akan memeriksa dengan lebih terperinci lagi.

"Mana-mana yang ingkar dan tidak mempunyai alasan munasabah akan diambil tindakan serta merta," tegas Aidi.

Hari ini Kuching merekodkan jumlah tangkapan paling ramai iaitu 13 orang, diikuti Miri (9); Sibu (5); Betong, Bau dan Simunjan masing-masing empat orang.

Manakala Kota Samarahan serta Lubok Antu merekodkan tangkapan seramai tiga orang, Sarikei (2); dan Padawan, Dalat, Lawas, Sri Aman serta Lundu masing-masing seorang.

Selain itu, seramai 106 didakwa di Mahkamah hari ini iaitu 53 orang di Kuching, Miri (22); Padawan (10); Kapit (7); Maradong (6); Matu Daro (3); Bintulu serta Sarikei masing-masing dua orang dan Limbang seorang.

Sumber: Utusan Borneo
oleh Jeremy Lanson