WHAT'S NEXT

RUAI CATS

01.00pm - 04.00pm

COVID-19: PROJEK 26 PENYANYI SANJUNGI 'FRONTLINERS' DAN RAKYAT MALAYSIA

Noh dan isterinya, Mizz Nina menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dalam menangani COVID-19


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Walaupun berkurung di rumah, kreativiti artis tempatan untuk menghiburkan peminat dari kediaman sepanjang pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak pernah terhenti.

Tampil dengan lagu tribute berjudul Sentiasa Di Sini, penyanyi, Noh Salleh dan komposer, AG Coco bergabung dengan 25 penyanyi tempatan.

Noh memberitahu, projek itu adalah inisiatif mereka bagi menghargai rakyat Malaysia yang teguh melawan wabak COVID-19.

“Saya, AG dan 25 penyanyi terkenal termasuk Faizal Tahir, NJWA, Dayang Nurfaizah dan ramai lagi berpadu suara menzahirkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan serta rakyat Malaysia yang berusaha melawan pandemik ini.

“Kami selebriti tanah air menyokong petugas barisan hadapan yang komited dalam kerja mereka. Semua rakyat mahukan sesuatu yang positif, jadi saya amat berbangga kerana terbabit dalam projek ini.

“Melalui lagu ini, saya berharap ia menjadi semangat rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi perit ini.

“Mari sama-sama berjuang menentang COVID-19 dan mengekalkan semangat sentiasa,” katanya kepada BH Online.

Mewakili rakan-rakan artis, Noh menyifatkan penghasilan video muzik Sentiasa Di Sini sebagai satu usaha murni apabila seluruh rakyat Malaysia berganding bahu dalam membasmi COVID-19.

Apa yang istimewa, semua artis yang terbabit dalam projek itu melakukannya secara percuma.

Single itu dirakam dan dihasilkan secara berasingan dengan setiap selebriti menghantar audio dan visual sendiri.

AG menggabungkan semua suara menjadi lagu yang indah dengan kemahiran pasukannya menyunting visual untuk dijadikan muzik video menyentuh perasaan.

Selain Faizal, Dayang Nurfaizah dan NJWA, artis yang terbabit adalah Syamel, Naim Daniel, Ernie Zakri, Ara Johari, Kashika, Ali Masdo, Mimi One Nation Emcee dan Nicole Lai.

Turut serta Azlan Typewriter, Marsha Milan, Imran Ajmain, Masya Masyitah, EL Ceria Popstar, Ucop, Yoyo, Dinda, Umairah, Nehsan Selvaraj, Danny Ah Boy, Jacqueline, Putera Muhammad dan Xavier.

Video muzik Sentiasa Di Sini boleh ditonton dan didengari di semua saluran televisyen (TV), radio dan Astro, mulai semalam.

Sumber: Berita Harian
Oleh Fatin Farhana Ariffin
fatin.farhana@bh.com.my