WHAT'S NEXT

RENTAK RUAI

02.00pm - 05.00pm

SAYA SEBENARNYA BUKANLAH SEORANG WANITA YANG KUAT: BELLA ASTILLAH

ENGGAN mengenang kisah sedih tentang keruntuhan rumah tangga selepas perceraian dengan bekas suami


Back To Whats Hot

Enggan mengenang kisah sedih tentang keruntuhan rumah tangga selepas perceraian dengan bekas suami yang merupakan seorang penyanyi terkenal, iaitu Aliff Aziz, Bella Astillah tekad kembali menceburi bidang seni demi kelangsungan hidup bersama anaknya, Mohamed Ayden Adrean, 2.

Menurut pemilik nama sebenar Dayang Nabellah Awang Astillah, 25, perkara itu dilakukan kerana mahu anaknya membesar dengan suasana bahagia, selain menyibukkan diri untuk melupakan kenangan pahit.

“Alhamdulillah selepas apa yang telah berlaku, sekarang ini semuanya dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Saya pun sudah mula sibukkan diri dengan pelbagai aktiviti sebagai satu cara untuk meneruskan hidup.

“Bahkan, dalam masa yang sama saya juga banyakkan meluangkan masa bersama keluarga tersayang.

“Selain itu, saya sudah tidak sabar rasanya masuk ke set penggambaran untuk sebuah drama bersiri dalam jangka masa terdekat ini,” kongsi Bella teruja.

Meskipun mampu mengukir senyuman seolah-olah kehidupannya tidak dilanda badai, Bella juga mengakui dia bukanlah seorang wanita yang dilihat begitu seperti mana yang digambarkan khalayak umum. Cuma, Bella terpaksa menepis kesedihan lalu kerana tidak mahu putera kesayangannya terkesan dengan perceraian tersebut.

“Jujur saya katakan di sini, saya sebenarnya bukanlah seorang wanita yang kuat. Bagaimanapun, saya memang kena kuat juga sebab anak melihat saya sebagai ibunya yang sentiasa bersama.

“Saya tak mahu tengok dia berasa sedih atau menangis sahaja. Disebabkan itu, saya sentiasa tunjuk gembira supaya dia pun merasakan perasaan yang sama.

“Sungguhpun begitu, alhamdulillah hidup saya kini lebih terarah dalam membesarkan anak dan mahu dia berasa bahagia sepanjang hidupnya,” luahnya.

Pada 16 Mei lalu, Bella dan Aliff bercerai dengan talak satu selepas kontroversi melibatkan Aliff yang didakwa curang bersama beberapa wanita sepanjang perkahwinan mereka.

Sementara itu, ibu kepada seorang cahaya mata itu ditemui Sinar Harian pada malam Anugerah FiTA Wave Short Film yang diadakan di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor, Jumaat lalu.

Di dalam merencanakan kehidupan baharu sebagai seorang penyanyi dan pelakon, Bella berharap dia diterima oleh masyarakat dan diberikan ruang serta peluang untuk menunjukkan bakat terpendamnya.

“Saya masih hijau lagi di lapangan seni ini, jadi saya harap orang doakan yang terbaik untuk saya. “Alhamdulillah, untuk bergerak dan mengetahui lebih lanjut dalam bidang seni hiburan ini, saya banyak merujuk kepada adik saya yang juga seorang penyanyi dan pelakon,” akhirinya.

Sumber: Sinar Harian