WHAT'S NEXT

CATS XPOSED - ME

10.00am - 12.00pm

AARON, WOOI YIK MARA KE SUKU AKHIR SELEPAS MENGEJUTKAN PILIHAN KELIMA

Beregu lelaki kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencipta kejutan apabila menumbangkan pasangan ranking ketujuh dunia


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencipta kejutan apabila menumbangkan pasangan ranking ketujuh dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia untuk mara ke suku akhir kejohanan badminton Malaysia Masters 2019, semalam.

Pada aksi berlangsung di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur, gandingan muda negara yang berada di ranking ke-23 dunia itu menampilkan penguasaan gelanggang yang baik untuk meraih kemenangan  straight set 26-24, 21-15 ke atas pilihan kelima kejohanan tersebut.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, Aaron berkata mereka turun beraksi semalam tanpa sebarang tekanan sebaliknya hanya mengikut segala arahan jurulatih.

“Memang langsung tidak fikir perlawanan ini menjadi mudah kerana kita pernah ditewaskan mereka ketika beraksi pada Piala Thomas tahun lepas.

“Strategi semalam, jurulatih lebih menekankan kepada cara kami mengawal gelanggang dan bermain tanpa tekanan sebab kami bukan pasangan pilihan,” katanya.

Pada masa sama, Wooi Yik mengakui sokongan penyokong tempatan antara faktor mendorong mereka beraksi cemerlang pada perlawanan tersebut.

Sementara itu, Aaron menyifatkan 2019 adalah tahun penting bagi mereka dalam usaha memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Tahun ini amat penting untuk kami. Tetapi sehingga April ini, kami hanya mahu memberi tumpuan menaikkan ranking dunia supaya mendapat undian yang lebih berpihak kepada kami nanti,” jelas beliau.

Pada aksi suku akhir hari ini, Aaron-Wooi Yik akan berdepan gandingan Denmark yang juga pilihan keempat kejohanan, Kim Astrup-Andres Skaarup Rasmussen yang mudah mengatasi beregu profesional negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen 21-13, 21-14 dalam satu lagi aksi pusingan kedua.

Dalam pada itu, cabaran beregu wanita negara berakhir selepas Vivian Hoo-Yap Cheng Wen tewas 9-21, 18-21 kepada Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto dari Indonesia di pusingan kedua.

Sumber: BERNAMA