WHAT'S NEXT

CATS UJUNG MINGGU

01.00pm - 04.00pm

FAM HANYA BOLEH TUNGGU SEHINGGA OGOS

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampak tidak ada pilihan selain perlu membatalkan Liga Malaysia (Liga M)


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampak tidak ada pilihan selain perlu membatalkan Liga Malaysia (Liga M) sekiranya ia tidak dapat diteruskan selepas Ogos nanti.

Perkembangan itu disahkan Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi selepas menjelaskan mengikut perancangan sedia ada, mereka hanya boleh menunggu sehingga Ogos untuk menyambung kembali saingan domestik yang mula ditangguhkan sejak pertengahan bulan lalu.

"Kita ada sehingga Ogos sahaja sebelum perlu memulakan liga kembali. Kalau saingan hanya boleh diteruskan pada penghujung tahun misalnya Oktober atau November, mungkin kita perlu batalkan liga.

"Ini sebab kita sudah tiada masa lagi kalau liga bermula pada penghujung tahun. Apapun, kita tunggu pengumuman rasmi dahulu daripada kerajaan yang boleh mengesahkan bahawa Liga M boleh bersambung ataupun tidak.

"Kita pun akan adakan perbincangan mengenai perkembangan terbaru ini," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan pihaknya sedia mempertimbangkan cadangan FAM untuk meneruskan Liga M namun ia perlu melalui 'tempoh bertenang' terlebih dahulu.

Ini kerana Ismail menegaskan meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan namun Prosedur Operasi Standard (SOP) selepas PKP akan tetap diteruskan.

"Perhimpunan dan sukan berkumpulan mungkin tidak dibenarkan tetapi kita tengok tarikhnya. Saya difahamkan pertandingan akan bermula pada Jun tetapi saya kira ia terlalu rapat kalaupun PKP ditamatkan dalam tempoh sebulan atau dua bulan.

"Mungkin terlalu awal untuk kita benarkan. Katakan PKP tamat pada Jun dan pertandingan pada Oktober atau November dengan SOP seperti yang disebutkan iaitu tanpa penyokong dan sebagainya, mungkin kita boleh lihat dan pertimbangkan.

"Tetapi nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih diperlukan. Selepas kita dapat cadangan FAM atau Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kita akan teliti perkara ini," katanya pada sidang media harian, semalam.

Sumber: Berita Harian
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my