KUALA LUMPUR - Keupayaan melakukan analisis sepanjang perlumbaan menjadi faktor utama yang membantu pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, meraih kemenangan sulungnya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno, Ahad lalu.
Walaupun terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-14 selepas dikenakan penalti 12 kedudukan grid, pelumba berusia 19 tahun itu berjaya mempamerkan aksi cemerlang apabila bangkit untuk berada dalam kelompok hadapan sebelum muncul juara.
Menurut Danish, permulaan yang baik membolehkannya mengekalkan rentak dan secara berperingkat memintas pelumba lain selepas mengenal pasti bahagian terbaik untuk melakukan pintasan.
“Perlumbaan ini cukup mencabar. Saya memulakan saingan dengan baik dan bekerja keras untuk mengejar kelompok hadapan. Sedikit demi sedikit saya berjaya memintas beberapa pelumba.
“Selepas itu, saya cuba kekal bersama kelompok hadapan sambil mengenal pasti bahagian yang sesuai untuk memintas serta aspek yang perlu diperbaiki,” katanya dalam satu kenyataan.
Kejayaan pelumba MT Helmets-MSI itu turut menamatkan penantian hampir sedekad buat Malaysia untuk melihat wakil negara memenangi perlumbaan Moto3. Kali terakhir pencapaian tersebut dilakar oleh Khairul Idham Pawi pada musim 2016.
Pada perlumbaan di Brno, Danish menewaskan Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo yang menamatkan saingan di tempat kedua, manakala pelumba CFMOTO Gaviota Aspar, Maximo Quiles, melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
Mengulas detik kemenangan tersebut, pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu berkata dia mengerah jenteranya ke tahap maksimum pada pusingan terakhir, sebelum mengambil kesempatan atas kesilapan yang dilakukan dua pencabar utamanya.
“Pada pusingan terakhir, saya memberikan segala-galanya dan menolak jentera ke tahap maksimum. Ketika itu, dua pelumba di hadapan melakukan kesilapan dan terkeluar daripada garisan perlumbaan, jadi saya mengambil peluang untuk memintas mereka,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Hakim Danish terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek terbaik sukan permotoran negara di pentas dunia.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back