MIAMI – Jurulatih Cape Verde, Bubista, percaya pasukannya berada di landasan tepat untuk melakar sejarah apabila kini mengalihkan fokus kepada usaha mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas mencatat keputusan seri 2-2 dengan Uruguay, awal pagi tadi.
Pasukan yang membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia itu meneruskan kempen cemerlang mereka dengan meraih satu lagi keputusan positif, selepas sebelum ini mengikat Sepanyol tanpa jaringan dalam aksi pembukaan Kumpulan H.
Cape Verde yang menghuni ranking ke-63 dunia kini berada dalam kedudukan terbaik untuk memburu slot ke pusingan 32 terbaik. Mereka hanya memerlukan kemenangan ke atas Arab Saudi dalam perlawanan terakhir kumpulan bagi memastikan kemaraan ke peringkat seterusnya.
Menurut Bubista, sasaran pasukannya sejak awal adalah untuk bersaing dengan pasukan terbaik dunia sambil mengekalkan identiti serta kekuatan sebagai sebuah pasukan.
“Sejak awal lagi kami mahu bersaing pada tahap tertinggi dan itulah yang kami lakukan dalam dua perlawanan ini. Lebih penting daripada keputusan ialah kami dapat menunjukkan identiti, kekuatan, perpaduan dan ketahanan pasukan,” katanya.
Beliau berkata, Cape Verde kini mempunyai keyakinan untuk memasang impian baharu iaitu melangkah ke pusingan kedua sambil menegaskan pasukannya tetap menghormati setiap lawan yang dihadapi.
“Kami menghormati semua lawan, tetapi kini kami berada pada tahap di mana kami boleh mengatakan bahawa kami akan berjuang habis-habisan untuk melayakkan diri,” katanya.
Sebelum aksi menentang Uruguay, Bubista menegaskan anak buahnya akan tampil tanpa rasa gentar dan mereka membuktikannya apabila mendahului menerusi sepakan percuma menarik Kevin Pina.
Walaupun sempat ketinggalan 2-1, Cape Verde bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Helio Varela untuk mengutip satu mata berharga.
“Kami mahu menunjukkan kepada dunia bahawa kami mempunyai kemampuan untuk bersaing dan merebut tempat ke pusingan seterusnya. Pada ketika ini, fokus kami hanyalah untuk layak ke pusingan berikutnya,” kata Bubista.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back