Barcelona mengesahkan kejuaraan La Liga musim 2025 selepas menundukkan musuh tradisi, Real Madrid 2-0 dalam aksi El Clasico di Camp Nou awal pagi tadi.
Kemenangan itu memastikan skuad bimbingan Hansi Flick mempertahankan gelaran liga buat musim kedua berturut-turut sekali gus merangkul trofi La Liga ke-29 dalam sejarah kelab.
Marcus Rashford dan Ferran Torres muncul wira Barcelona apabila masing-masing menjaringkan gol pada babak pertama untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik tuan rumah.
Keputusan tersebut menyaksikan Barcelona kini selesa di puncak liga dengan kelebihan 14 mata ke atas Real Madrid, meskipun saingan hanya berbaki tiga perlawanan.
Ia turut menjadi detik bersejarah apabila hanya kali kedua penentuan juara La Liga berlaku secara langsung menerusi aksi El Clasico, selepas kali pertama dicatatkan pada tahun 1932.
Walaupun dikecewakan Atletico Madrid di suku akhir Liga Juara-Juara sebelum ini, Barcelona tetap tampil dominan di hadapan penyokong sendiri untuk meraikan kejayaan domestik mereka.
“Gelaran ini sangat istimewa kerana kami menewaskan Real Madrid di laman sendiri. Kami mahu meraikannya bersama penyokong,” kata pemain tengah Barcelona, Frenkie de Jong.
“Kami percaya kami pasukan terbaik di Sepanyol ketika ini dan sasaran seterusnya adalah memenangi Liga Juara-Juara musim depan.”
Real Madrid pula hadir ke Camp Nou dalam situasi tidak stabil selepas Federico Valverde diketepikan akibat kecederaan susulan insiden pergaduhan ketika latihan bersama Aurelien Tchouameni.
Dalam masa sama, Hansi Flick turut berdepan detik peribadi yang sukar apabila bapanya dilaporkan meninggal dunia sebelum perlawanan, namun beliau tetap berada di tepi padang mengemudi pasukan menuju kemenangan.
“Hari ini amat sukar buat saya, tetapi saya bangga dengan semangat pemain yang terus berjuang hingga wisel penamat,” katanya.
Tanpa Lamine Yamal yang mengalami kecederaan, Flick membuat keputusan mempertaruhkan Rashford di bahagian sayap kanan dan percaturan itu nyata berhasil.
Barcelona yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan kejuaraan terus garang apabila mendahului dua gol dalam tempoh 18 minit pertama permainan.
Rashford membuka jaringan menerusi sepakan percuma menarik sebelum Ferran Torres menggandakan kelebihan hasil gerakan cantik Dani Olmo.
Sementara itu, pengendali Real Madrid, Alvaro Arbeloa mengakui pasukannya perlu bangkit selepas musim mengecewakan tanpa trofi utama.
“Kami faham kekecewaan penyokong. Pasukan perlu terus bekerja keras dan belajar daripada kesilapan musim ini,” katanya.
Barcelona kini berpeluang menamatkan musim dengan kutipan 100 mata, manakala Real Madrid dijangka melakukan rombakan besar selepas dua musim berturut-turut gagal menjulang trofi utama.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back