RIYADH – Cristiano Ronaldo sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila meledak gol liga ke-100 bersama Al Nassr dalam kemenangan 4-2 ke atas Al Shabab dalam aksi Liga Pro Saudi, awal pagi tadi.
Kejayaan itu mengukuhkan kedudukan Al Nassr di puncak liga dengan kelebihan lima mata, namun pencabar terdekat, Al Hilal, masih mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Pertembungan Derbi Riyadh antara Al Nassr dan Al Hilal pada 12 Mei ini dijangka menjadi aksi penentu dalam perebutan gelaran liga musim ini.
Penyerang Portugal, Joao Felix, muncul pemain paling menyerlah apabila menjaringkan hatrik untuk memastikan tiga mata penting buat Al Nassr. Dalam masa sama, Ronaldo terus mencuri tumpuan apabila kini hanya memerlukan 29 lagi gol untuk mencapai rekod peribadi 1,000 gol rasmi sepanjang karier profesionalnya.
Al Nassr memulakan permainan dengan cemerlang apabila Felix membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi rembatan voli selepas memanfaatkan bola muntah hasil hantaran lintang Sadio Mane.
Felix sekali lagi menemui sasaran tujuh minit kemudian menerusi tandukan hasil hantaran Abdulrahman Ghareeb untuk meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2-0.
Al Shabab bangkit merapatkan kedudukan pada minit ke-30 menerusi Yannick Carrasco yang mengambil kesempatan atas kesilapan jentera tengah Al Nassr.
Pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama, namun tandukan Carrasco hanya terkena palang. Dalam separuh masa kedua, percubaan Ali Al Azaizeh pula sekadar singgah di tiang gol.
Ronaldo akhirnya menceriakan penyokong tuan rumah pada minit ke-75 apabila tenang menyempurnakan hantaran Mane untuk gol ketiga Al Nassr dan jaringan ke-100nya dalam saingan liga Arab Saudi.
Al Shabab sempat menghidupkan peluang menerusi jaringan Ali Al Bulayhi, namun Felix melengkapkan hatriknya menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan selepas Abdullah Al Hamddan dijatuhkan penjaga gol Marcelo Grohe.
Kemenangan itu menjadikan perebutan kejuaraan Liga Pro Saudi semakin hangat menjelang aksi penting menentang Al Hilal sebelum Al Nassr menutup kempen liga bertemu Damac FC.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back