KUALA LUMPUR: Pelakon kelahiran Malaysia bertaraf antarabangsa, Michelle Yeoh, terus mengukir sejarah apabila menerima bintang di Hollywood Walk of Fame, sekali gus meletakkan namanya sebaris tokoh seni paling berpengaruh dunia.
Yeoh, 64, menyifatkan detik berkenaan sebagai sesuatu yang “gila” dan “tidak nyata”, dalam majlis penuh emosi yang dihadiri peminat serta rakan industri yang disifatkannya sebagai “keluarga pilihan”.
Memulakan kerjaya menerusi filem aksi Hong Kong pada era 1990-an sebelum melonjak sebagai bintang global, Yeoh mengakui tidak pernah membayangkan dirinya akan memiliki bintang sendiri di Hollywood Boulevard.
“Bintang itu mungkin satu simbol, tetapi ia mewakili begitu ramai insan yang memungkinkan perjalanan ini.
Saya harap ia juga mengingatkan seseorang, di suatu tempat, bahawa segalanya adalah mungkin. Tempat kita bermula tidak menentukan sejauh mana kita boleh pergi,” katanya.
Pelakon filem Everything Everywhere All at Once itu turut mendedikasikan penghormatan berkenaan kepada ibunya serta mendiang bapanya, sambil menyifatkannya sebagai “bintang kita”.
Majlis penganugerahan berprestij itu turut dihadiri dua pengarah terkenal dunia, Ang Lee dan Jon M. Chu, yang tampil memberikan ucapan penghormatan.
Lee memuji Yeoh sebagai bintang filem hebat dengan bakat luar biasa serta profesionalisme tinggi, manakala Chu menyifatkannya sebagai “sinar harapan” yang mencetuskan perubahan generasi dalam industri perfileman global.
Sebelum ini, Yeoh mencipta sejarah sebagai pelakon Asia pertama memenangi Anugerah Akademi (Oscar) bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada 2023.
Sepanjang kariernya, beliau membintangi pelbagai filem blockbuster termasuk Crouching Tiger, Hidden Dragon, Tomorrow Never Dies dan Crazy Rich Asians.
Terbaharu, Yeoh turut menerima Anugerah Golden Bear Kehormat bagi Pencapaian Sepanjang Hayat sempena Berlin International Film Festival (Berlinale), mengukuhkan lagi statusnya sebagai ikon global industri seni.
Pengiktirafan demi pengiktirafan yang diraih bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi simbol kebangkitan bakat Asia di pentas antarabangsa.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back