LONDON: Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, mempertahankan keputusannya untuk tidak menghadiri pengebumian rakan sepasukannya, Diogo Jota, dengan alasan mahu menghormati suasana duka tanpa mencetuskan tumpuan media yang tidak diingini.
Dalam temu bual eksklusif bersama Piers Morgan, kapten kelab Al-Nassr itu menjelaskan dua sebab utama di sebalik keputusannya, sumpah peribadi untuk tidak lagi menjejak kaki ke tanah perkuburan selepas kematian bapanya, serta keinginan untuk mengelakkan majlis itu daripada menjadi “sarkas” media.
“Sejak ayah saya meninggal dunia, saya tidak pernah ke tanah perkuburan lagi. Semua orang tahu, ke mana saya pergi pasti jadi tumpuan. Saya tidak mahu perhatian itu, bukan pada hari seperti itu. Kalau saya hadir, fokus akan beralih kepada saya, saya tidak mahu begitu,” katanya.
Ronaldo, 40, sebelum ini menerima kritikan hebat selepas gambarnya bercuti di atas kapal layar di Mallorca tular hanya beberapa hari selepas Jota dan abangnya, Andre Silva, maut dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol pada 3 Julai lalu.
Walaupun tidak hadir pada majlis pengebumian di Portugal yang turut dihadiri pemain seperti Virgil van Dijk, Andy Robertson, dan Ruben Neves, Ronaldo menegaskan beliau tetap memberi penghormatan secara peribadi kepada keluarga mendiang.
“Saya sudah bercakap dengan keluarga mereka dan memberikan sokongan secara senyap. Saya tidak perlu berada di depan kamera supaya orang nampak apa saya buat. Saya lakukannya di belakang tabir,” ujarnya.
Kakaknya, Katia Aveiro, turut mempertahankan tindakan itu di media sosial dengan mengimbas pengalaman keluarga mereka ketika pengebumian ayah mereka pada 2005 yang dipenuhi gangguan media.
“Kesedihan kami ketika itu terganggu oleh kamera dan orang luar yang ingin tahu. Kami tidak mahu adik saya melalui situasi sama. Masyarakat terlalu cepat menghukum tanpa memahami kesedihan sebenar,” tulis Katia.
Jota, yang baru sahaja berkahwin beberapa hari sebelum tragedi, kali terakhir beraksi bersama Ronaldo ketika final Liga Negara-Negara Eropah, membantu Portugal menewaskan Sepanyol untuk meraih kejuaraan.
Ronaldo mengakui berita kematian itu amat mengejutkan.
“Saya menangis. Ia sangat menyedihkan, untuk negara, keluarga, rakan dan pasukan. Kami masih rasa kehadirannya setiap kali menyarung jersi kebangsaan,” katanya lagi.
Walaupun tidak hadir ke pengebumian, Ronaldo dilaporkan menghadiri majlis peringatan khas untuk Jota pada September lalu bersama skuad Portugal, keluarga mendiang, ejen Jorge Mendes, serta Presiden dan Perdana Menteri Portugal.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back