LONDON - Benjamin Sesko muncul sebagai wira lewat permainan apabila menjaringkan gol penyamaan untuk membantu Manchester United seri 1-1 menentang West Ham di Stadium London, awal pagi tadi.
United ketinggalan selepas Tomas Soucek menjaringkan gol pada babak kedua, dan pengurus sementara Michael Carrick hampir mengalami kekalahan pertamanya dalam lima perlawanan. Namun, Sesko menyamakan kedudukan hanya beberapa saat sebelum wisel penamat ditiup.
Carrick sebelum ini menyuntik kebangkitan luar biasa buat United dengan kemenangan ke atas Manchester City, Arsenal, Fulham dan Tottenham sejak menggantikan Ruben Amorim yang dipecat. Walaupun hanya mengendalikan pasukan sehingga hujung musim, permulaan cemerlangnya menjadikan beliau antara calon utama untuk dilantik secara tetap.
Prestasi kali ini bagaimanapun dianggap antara yang paling hambar di bawah kendalian Carrick, namun semangat juang pemain yang tidak mudah mengalah wajar dipuji.
Keputusan seri itu mengekalkan United di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL), satu mata di hadapan Chelsea di tempat kelima dalam perebutan slot ke Liga Juara-Juara. West Ham pula kekal di tangga ketiga tercorot, dua mata di belakang Nottingham Forest dalam usaha mengelak penyingkiran.
Aksi hambar United membuka ruang kepada West Ham sejurus lima minit babak kedua bermula. Soucek memulakan gerakan dengan hantaran ke sayap kanan kepada Jarrod Bowen sebelum membuat larian tepat untuk menyambar hantaran lintang rendah Bowen dari jarak dekat.
Namun, West Ham gagal mempertahankan kelebihan apabila Sesko memanfaatkan hantaran lintang berbahaya Bryan Mbeumo dan melakukan penyudah tenang melepasi penjaga gol Mads Hermansen dari jarak 10 ela.
Dalam perkembangan sampingan, penyokong setia United, Frank Ilett, terpaksa menangguhkan hasrat memotong rambut selepas pasukannya gagal meraih kemenangan kelima berturut-turut. Ilett sebelum ini mengumpul lebih dua juta pengikut di media sosial selepas berjanji untuk menyimpan rambut sehingga United mencapai sasaran tersebut.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back