LOS ANGELES: Selepas lebih empat dekad beraksi di Hollywood, bintang terkenal Tom Cruise akhirnya menerima trofi emas Oscar Kehormat 2025, menandakan pengiktirafan utama terhadap sumbangannya dalam dunia perfileman.
Cruise, 63, menerima anugerah itu pada majlis tahunan Anugerah Gabenor Akademi bersama ikon hiburan lain termasuk penyanyi dan dermawan Dolly Parton, koreografer Debbie Allen, dan pereka produksi Wynn Thomas, lapor BBC.
Dalam ucapan penghargaan, Cruise meluahkan rasa cintanya terhadap dunia sinematik:
"Membuat filem bukan sekadar apa yang saya lakukan, tetapi itulah diri saya."
Sepanjang kerjayanya, Cruise pernah empat kali tercalon untuk Anugerah Akademi, termasuk Pelakon Lelaki Terbaik untuk Born on the Fourth of July dan Jerry Maguire, serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk Magnolia. Beliau juga dicalonkan sebagai penerbit untuk Top Gun: Maverick.
Cruise turut mengucapkan terima kasih kepada semua penggiat seni dan pasukan di belakang tabir yang pernah bekerjasama dengannya sepanjang 45 tahun kerjaya. Beliau menekankan kekuatan magis sinema dalam menyatukan manusia: "Di dalam panggung wayang, kita ketawa, merasai emosi, berharap dan bermimpi bersama... Itulah kuasa seni ini. Menghasilkan filem bukan apa yang saya buat, tetapi siapa saya."
Ketika naik ke pentas, Cruise disambut dengan tepukan gemuruh hampir satu minit dari barisan legenda industri, termasuk Steven Spielberg, Leonardo DiCaprio, dan Jerry Bruckheimer. Anugerah tersebut disampaikan oleh sutradara Alejandro G. Iñárritu, yang kini sedang mengarahkan filem terbaru lakonan Cruise.
Cruise juga berkongsi bagaimana sinema membesarkan horizon dunia yang dikenalnya sejak kecil: "Filem membuka mata dan imaginasi saya kepada kemungkinan hidup yang jauh lebih luas. Cahaya dari layar itu menyalakan keinginan untuk meneroka dunia… Itulah yang saya kejar hingga kini."
Bintang aksi itu terkenal dengan keberanian melakukan lagak aksi sendiri dan lantang mempertahankan kepentingan pawagam tradisional, terutama ketika industri penstriman dan media sosial semakin bersaing untuk perhatian penonton. Dengan seloroh, Cruise menambah: "Saya akan sentiasa melakukan apa yang terdaya untuk membantu seni ini, menyokong suara baharu dan mempertahankan apa yang menjadikan sinema begitu berkuasa… harapnya tanpa terlalu banyak tulang patah lagi."
Lembaga Gabenor Akademi Perfileman memilih Cruise kerana komitmen luar biasanya terhadap komuniti filem, pengalaman tayangan pawagam, dan dedikasi terhadap aksi lasak, menurut kenyataan rasmi badan itu.
Sebelum ini, Cruise dilaporkan dijangka menerima pengiktirafan daripada Presiden AS melalui Kennedy Center Honors, namun beliau menolak kerana pertindihan jadual.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back