Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, berada pada tahap persiapan terbaik untuk memulakan saingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kelas Moto3.
Pelumba berusia 18 tahun itu mengakui teruja untuk kembali beraksi di litar antarabangsa, khususnya bagi menguji jentera Moto3 menjelang sesi ujian rasmi dua hari di Portimao, Portugal.
“Saya menjalani ujian selama dua hari di Portimao dan dua hari lagi di Jerez. Sasaran saya adalah untuk mendapatkan semula rentak serta mencari pelarasan terbaik sebelum musim bermula,” katanya.
Anak jati Terengganu itu turut mendedahkan telah menjalani latihan intensif di Malaysia, termasuk berlatih bersama beberapa pelumba dari Sepanyol yang sanggup datang ke negara ini, satu peluang besar untuk meningkatkan tahap persaingannya.
Hakim Danish, yang berlumba bersama pasukan MT Helmets MSI, dijangka menggunakan jentera Angel Piqueras selepas pelumba Sepanyol itu dinaikkan ke kelas Moto2 bersama QJMotor-Frinsa-MSI.
Musim ini, Hakim Danish akan bergandingan dengan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka, dan memacu jentera KTM RC250GP.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back