Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, mencatat keputusan membanggakan apabila meraih mata pertamanya dalam Kejuaraan Dunia Moto3 selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Portugal di tempat ke-12, hujung minggu lalu.
Anak jati Terengganu berusia 18 tahun itu tampil berani di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao, sekali gus membawa pulang empat mata berharga dalam penampilan cemerlangnya bersama pasukan FRINSA – MT Helmets – MSI.
Walaupun terlibat dalam kemalangan ketika sesi kelayakan hingga terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-17, Hakim tidak mudah berputus asa. Beliau berjaya memperbaiki kedudukan dan memintas beberapa pelumba, termasuk seteru utamanya dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup, Brian Uriarte, untuk menempatkan diri dalam kelompok 15 terbaik.
“Saya sangat menikmati perlumbaan sebenar walaupun masih banyak perkara perlu diperbaiki. Rentak awal sangat laju, dan saya cuba kekal bersama kelompok hadapan,” katanya.
“Perlumbaan di Portimao ini menjadi pengalaman berharga untuk saya, dan kini saya akan bersiap sedia menghadapi aksi seterusnya di Valencia.”
Mengulas tentang insiden kelayakan yang menjejaskan kedudukannya di grid, Hakim mengakui ada kesilapan teknikal yang perlu diperbaiki.
“Saya masuk selekoh terlalu laju hingga terbabas keluar laluan. Selepas itu, saya sempat membuat satu pusingan terakhir selepas menukar tayar. Ia jadi pengajaran penting untuk saya perbaiki prestasi dalam sesi kelayakan akan datang,” jelasnya.
Hakim Danish, yang menggantikan pelumba Jepun Ryusei Yamanaka akibat kecederaan, kini menumpukan perhatian terhadap pusingan terakhir musim di GP Valencia yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 16 November ini.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back