RABAT - Senegal muncul juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas menewaskan tuan rumah, Maghribi 1-0 pada masa tambahan dalam perlawanan akhir yang penuh kontroversi dan kekecohan awal pagi tadi.
Jaringan kemenangan hadir menerusi pemain tengah, Pape Gueye pada minit ke-94 selepas perlawanan diheret ke masa tambahan. Gol itu hadir sejurus Maghribi mensia-siakan peluang keemasan untuk menamatkan perlawanan dalam masa sebenar apabila bintang mereka, Brahim Diaz gagal menyempurnakan sepakan penalti pada detik akhir permainan.
Situasi menjadi tegang apabila sepakan penalti diberikan kepada Maghribi susulan semakan VAR oleh pengadil dari Congo, Jean-Jacques Ndala. Keputusan itu dibuat selepas Diaz dijatuhkan oleh bek kanan Senegal, El Hadji Malick Diouf ketika mempertahankan sepakan sudut pada minit kelima masa kecederaan.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, jurulatih Senegal, Pape Bouna Thiaw mengarahkan anak buahnya meninggalkan padang sebagai tanda protes. Kapten pasukan, Sadio Mane memainkan peranan penting memujuk rakan sepasukan untuk kembali meneruskan perlawanan selepas kelewatan selama 14 minit.
Ketika penalti diambil, Diaz secara mengejutkan cuba melakukan sepakan gaya Panenka, namun percubaannya terlalu lemah dan mudah ditangkap penjaga gol Senegal, Edouard Mendy, sekali gus menyelamatkan pasukannya daripada bolos.
Senegal kemudian memanfaatkan momentum itu apabila Gueye melepaskan rembatan padu yang gagal diselamatkan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou untuk memastikan kemenangan dan menjulang trofi.
Kedua-dua penjaga gol tampil cemerlang dengan beberapa aksi menyelamat penting dalam perlawanan yang berlangsung sengit dan terbuka dari awal hingga akhir. Percubaan Senegal untuk menambah jaringan pada masa kecederaan turut dibatalkan selepas Abdoulaye Seck didapati menolak Achraf Hakimi ketika membina serangan.
Kejayaan itu menyaksikan Senegal meraih gelaran ketiga dalam empat edisi terakhir serta menghadiahkan kekalahan pertama kepada Maghribi selepas 27 perlawanan antarabangsa tanpa tewas.
“Kami benar-benar mahu menang di sini. Ia perlawanan yang sangat sukar tetapi kami memberikan segala-galanya,” kata Gueye.
Sorakan lebih 66,000 penyokong tuan rumah di Stadium Mohammed V tidak menggentarkan Senegal yang terus memberi tekanan sepanjang perlawanan.
Sementara itu, jurulatih Maghribi, Walid Regragui meluahkan kekecewaan terhadap kekalahan itu.
“Kami kecewa untuk seluruh rakyat Maghribi. Apabila mendapat sepakan penalti pada minit terakhir, kemenangan terasa begitu hampir. Tetapi bola sepak akhirnya menghukum kami,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Senegal namun mengakui insiden yang berlaku mencemarkan perlawanan akhir tersebut.
Kekalahan itu meneruskan rekod hambar Maghribi yang hanya pernah menjuarai kejohanan ini sekali, kira-kira 50 tahun lalu.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back