PETALING JAYA - Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari kebelakangan ini, ditambah pula dengan limpahan air dari banjir besar di selatan Thailand, menyebabkan beberapa negeri di Pantai Timur dan Utara mula berdepan banjir awal musim tengkujuh.
Setakat ini, lima negeri terlibat dalam gelombang pertama banjir, iaitu Kelantan dan Terengganu di Pantai Timur, serta Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di Utara Semenanjung.
Menurut maklumat sehingga 5.30 petang semalam, seramai 7,650 penduduk telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), dengan Kelantan mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 7,040 orang.
Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Mohd. Farid Ishak berkata beberapa jajahan termasuk Bachok, Tumpat, Kota Bharu dan Pasir Puteh terjejas akibat kenaikan paras air.
Beliau memaklumkan bahawa hujan masih turun di hampir semua jajahan kecuali Gua Musang, dan pelbagai aset operasi telah digerakkan bersama agensi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Kita berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana hujan masih berlarutan dan jumlah penduduk terjejas dijangka meningkat,” katanya.
“Operasi memindahkan mangsa ke PPS juga sedang diteruskan memandangkan cuaca masih tidak menentu.”
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back