Porto, Portugal – Pasukan kebangsaan Portugal mencatat kemenangan besar 9-1 ke atas Armenia dalam aksi Kumpulan F sekaligus mengesahkan tempat mereka ke Piala Dunia 2026, meskipun tanpa kehadiran bintang tersohor, Cristiano Ronaldo. Penyerang Bruno Fernandes dan Joao Neves masing-masing menjaringkan hatrik dalam perlawanan itu.
Selepas dua keputusan mengecewakan pada bulan lalu, iaitu seri menentang Hungary dan tewas mengejut kepada Ireland yang menyaksikan Ronaldo dilayangkan kad merah, pasukan kendalian Roberto Martinez bangkit dengan cemerlang untuk menamatkan saingan kumpulan sebagai juara.
Renato Veiga membuka tirai jaringan pada minit ketujuh sebelum Armenia menyamakan kedudukan melalui Eduard Spertsyan. Namun, Portugal terus menguasai permainan dengan jaringan bertali arus oleh Goncalo Ramos, Neves, Fernandes dan Francisco Conceicao.
Neves mempamerkan kebolehan individu dengan rembatan deras dari luar kotak penalti serta sepakan percuma yang menerjah penjuru atas gol. Fernandes pula menyempurnakan dua sepakan penalti dan satu jaringan hasil gerakan kolektif bersama Ramos. Conceicao menutup tirai jaringan pada masa kecederaan, menjadikan kemenangan ini antara yang terbesar dalam sejarah Portugal.
“Kami sentiasa berhasrat untuk menang dengan cara yang meyakinkan dan mengawal permainan. Hari ini, kami sangat efektif dan memperoleh kemenangan yang memberangsangkan,” kata Fernandes.
Sementara itu, Martinez menyifatkan kemenangan besar itu sebagai tindak balas yang sempurna selepas kekalahan 0-2 kepada Ireland. “Kini kami boleh mengimpikan sesuatu mengenai Piala Dunia. Saya amat berpuas hati dengan reaksi pemain selepas kekalahan sebelum ini,” ujarnya.
Cristiano Ronaldo turut menyatakan kegembiraannya menerusi laman X: “Kami ke Piala Dunia! Ayuh, Portugal!”
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back