GAZA, 5 Nov – Trak bantuan kemanusiaan terus memasuki Semenanjung Gaza yang dikepung, susulan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas, lapor Anadolu Agency (AA).
Antara konvoi yang melalui sempadan Rafah ialah penghantaran daripada beberapa pertubuhan bantuan, termasuk dari Türkiye. Trak-trak berkenaan membawa pelbagai keperluan asas, terutama bekalan makanan, dan melalui beberapa lintasan utama seperti Kerem Shalom dan Kissufim untuk disalurkan kepada mangsa serangan berpanjangan di Gaza.
Perjanjian gencatan senjata itu mula berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu, berasaskan pelan berfasa yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Menurut pelan tersebut, fasa pertama melibatkan pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran bagi tahanan Palestin. Ia turut meliputi usaha membina semula Gaza serta mewujudkan mekanisme pentadbiran baharu tanpa penglibatan Hamas.
Pihak berkuasa Palestin memaklumkan bahawa hampir 69,000 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 170,000 lagi cedera akibat serangan Israel sejak Oktober 2023.
Sejak gencatan senjata dikuatkuasakan, angka korban baharu meningkat kepada 240 orang, manakala 607 lagi cedera. Sekurang-kurangnya 511 mayat turut ditemukan setakat ini.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini
Back