BINTULU, 22 Okt – Seorang penumpang Malaysia Airlines penerbangan MH2742 berkongsi pengalaman mencemaskan apabila pesawat dari Kuala Lumpur ke Bintulu mengalami penurunan tekanan kabin secara tiba-tiba baru-baru ini.
Menurut perkongsian Abdul Jalil di Facebook, insiden berlaku sekitar jam 10 pagi ketika pesawat yang berlepas dari KLIA1 pada 8.20 pagi itu tiba-tiba mengeluarkan bunyi ganjil beberapa kali sebelum topeng oksigen terjatuh dari ruang atas penumpang.
“Pada masa itu terasa seperti kapal terbang menjunam dan hilang kawalan. Saya lihat ramai penumpang tergamam,” katanya.
Abdul Jalil berkata suasana di dalam kabin menjadi panik apabila kapten pesawat mengisytiharkan kecemasan dan menasihati semua penumpang supaya memakai alat bantuan pernafasan.
“Walaupun pramugari selalu tunjuk cara guna alat keselamatan, ramai ambil ringan. Bila betul-betul jadi, semua kelam-kabut,” ujarnya.
Beliau turut menceritakan bahawa ada topeng oksigen yang tersangkut, menyebabkan beberapa penumpang terpaksa berkongsi dan menambah rasa cemas ketika itu.
Dalam keadaan genting itu, Abdul Jalil sempat merakam video dan gambar situasi di dalam kabin katanya, sebagai kenangan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Suasana hanya mula tenang selepas kapten memaklumkan bahawa pesawat sedang terbang pada ketinggian 10,000 kaki dan berada dalam kawalan.
“Apabila saya lihat pramugari sudah mula berjalan di lorong, baru rasa lega. Keyakinan untuk selamat semakin kuat,” katanya.
Pesawat dilaporkan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Bintulu pada 10.35 pagi dalam keadaan hujan renyai.
Abdul Jalil berkata beliau bersyukur kerana semua penumpang dan kru selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Sebaik keluar dari pesawat, saya tanya pramugari dan dia jawab ringkas ‘pressure drop’,” tambahnya.
Sumber: Suara Sarawak
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini