TOKYO – Pengeluar tandas terkenal Jepun, TOTO, memperkenalkan perkhidmatan baharu yang membolehkan orang ramai menyemak tahap kesibukan tandas awam hanya melalui telefon bimbit dengan mengimbas kod QR.
Langkah ini hadir susulan masalah barisan panjang di luar tandas awam, khususnya di stesen kereta api dan kawasan tumpuan ramai, satu isu yang sering membebankan pengguna wanita.
Sistem pintar itu disambungkan kepada rangkaian pengurusan fasiliti sedia ada dan dilancarkan bulan ini. Ia bukan sahaja memaparkan lokasi serta tahap kesesakan tandas secara masa nyata, malah boleh memberi amaran automatik kepada kakitangan sekiranya ada bilik yang kotor atau diduduki terlalu lama.
“Di dalam bilik tandas juga terdapat kod QR yang membolehkan pengguna melaporkan masalah seperti tandas tidak berfungsi atau rosak,” kata jurucakap TOTO, Tasuku Miyazaki, kepada AFP.
Perkhidmatan ini turut menyokong beberapa bahasa lain termasuk Inggeris, Mandarin dan Korea, sekali gus memudahkan pengguna antarabangsa.
Dalam masa sama, kerajaan Jepun sedang berusaha mengatasi isu barisan panjang di tandas awam wanita. Kementerian pengangkutan dilaporkan sedang mempertimbangkan dana tambahan dalam belanjawan fiskal akan datang bagi menyediakan paparan digital serta tandas mudah alih untuk meningkatkan jumlah kemudahan yang tersedia.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini