HANOI – Vietnam mula menutup lapangan terbang, sekolah serta melaksanakan pemindahan besar-besaran apabila Taufan Kajiki, yang dijangka menjadi ribut paling kuat tahun ini, semakin menghampiri pantai tengah negara itu.
Menurut agensi cuaca Vietnam, Kajiki membawa angin sehingga 103 kilometer sejam dan dijangka semakin kuat sebelum mendarat sekitar jam 9 pagi (waktu tempatan) di kawasan antara wilayah Thanh Hoa dan Nghe An.
Kerajaan memberi amaran bahawa ribut ini berpotensi membawa hujan lebat, banjir besar serta tanah runtuh. “Ini adalah taufan yang sangat berbahaya dan bergerak dengan pantas,” kata kenyataan rasmi pada malam tadi.
Lebih 500,000 penduduk diarahkan berpindah, manakala semua bot nelayan dilarang ke laut. Dua lapangan terbang di Thanh Hoa dan Quang Binh ditutup, sementara Vietnam Airlines serta Vietjet membatalkan puluhan penerbangan.
Vietnam, dengan pantai panjang menghadap Laut China Selatan, sering berdepan taufan besar. Kajiki dijangka sekuat Taufan Yagi yang melanda kurang setahun lalu, meragut hampir 300 nyawa dan menyebabkan kerugian mencecah AS$3.3 bilion.
Kajiki turut melintasi pesisir selatan Pulau Hainan, China, semalam, memaksa bandar Sanya menutup perniagaan dan menggantung pengangkutan awam.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini