Pelakon aksi legenda antarabangsa, Jet Li, dilaporkan selamat menjalani pembedahan membuang tumor di sebuah hospital di China baru-baru ini.
Khabar mengenai kesihatan bintang berusia 62 tahun itu mula diperkatakan selepas beliau berkongsi foto di atas katil hospital, walaupun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai penyakit yang dihidapi.
Menurut produser filem yang juga rakan rapatnya, Tiffany Chen, Jet Li sebenarnya dirawat kerana tumor.
Dalam satu hantaran di laman Weibo, aktor itu sempat bergurau tentang keadaannya:
“Perkakasan dalaman telah rosak dan perlu kembali ke ‘kilang’ (hospital) untuk dibaiki,” tulisnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para peminat atas doa dan keprihatinan mereka.
Untuk rekod, pada 2010 Jet Li pernah mendedahkan bahawa beliau menghidap hipertiroidisme, iaitu keadaan di mana kelenjar tiroid menghasilkan hormon berlebihan. Penyakit itu biasanya menyebabkan simptom seperti tangan menggeletar dan penurunan berat badan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini