MACAU, 4 Ogos 2025 – Beregu lelaki negara, Arif Junaidi dan Yap Roy King, mempamerkan aksi bertenaga untuk menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Macau, meskipun berdepan cabaran bermain di gelanggang basah akibat titisan air dari sistem penyaman udara.
Dalam aksi final yang berlangsung di East Asian Games Dome semalam, pasangan ranking ke-24 dunia itu mengejutkan pilihan utama dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani, menerusi kemenangan straight set 22-20, 21-18.
Turun sebagai pilihan keempat, Arif-Roy King tidak gentar berdepan beregu No. 8 dunia itu, yang juga naib juara Terbuka Indonesia, malah berjaya mengawal permainan walaupun perlawanan terganggu beberapa kali bagi kerja-kerja mengelap lantai gelanggang.
Kemenangan ini menamatkan penantian Arif-Roy King untuk merangkul kejuaraan dalam saingan Jelajah Dunia, selepas kali terakhir muncul naib juara di Sepanyol Masters pada Mac tahun lalu.
Sebagai juara, mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$29,230 (RM125,031) dan pingat kejuaraan, manakala pasangan Indonesia menerima AS$14,060 (RM60,141) selaku naib juara.
Dalam acara perseorangan lelaki, pemain muda negara, Justin Hoh terpaksa akur dengan kekalahan kepada wakil Indonesia, Alwi Farhan, 15-21, 5-21, sekali gus gagal meraih kejuaraan sulung Jelajah Dunia.
Keadaan gelanggang yang licin akibat titisan air turut menjejaskan prestasi Justin, terutama pada set kedua, memandangkan beliau pernah mengalami kecederaan serius sebelum ini.
“Memang ada air menitik ke atas gelanggang hari ini dan itu mengganggu pergerakan Justin. Kita tahu dia masih dalam proses pemulihan dan perlu berhati-hati,” kata jurulatih perseorangan lelaki negara, K. Yogendran.
Kekalahan ini menyaksikan kemarau gelaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki di pentas Jelajah Dunia berterusan sejak kemenangan terakhir Lee Zii Jia di Terbuka Australia tahun lalu.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini

WHAT’S HOT

04 August 2025 | 12:02 PM