MANCHESTER – Manchester United semakin hampir mendapatkan penyerang RB Leipzig, Benjamin Sesko, selepas menghantar bidaan rasmi bernilai £73.8 juta (RM413 juta), lapor pakar perpindahan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano.
Keyakinan pihak United meningkat selepas bidaan itu diserahkan semalam, dengan sumber mendedahkan bahawa Sesko dilaporkan lebih berminat untuk berhijrah ke Old Trafford, meskipun Newcastle United menawarkan jumlah yang lebih tinggi, £78.2 juta (RM437 juta) sehari lebih awal.
Difahamkan, Manchester United bertindak menghantar bidaan rasmi selepas menerima isyarat positif daripada pihak pemain, yang kini sedang meneliti pilihannya bersama wakil dan kelabnya, Leipzig.
Kelab Liga Perdana itu juga telah mengemukakan tawaran kontrak kepada penyerang berusia 22 tahun tersebut. Perbincangan dengan Leipzig masih diteruskan, namun keputusan akhir dijangka bergantung kepada kehendak Sesko sendiri, selaras dengan persefahaman tidak rasmi bersama Leipzig, yang bersedia membenarkannya pergi sekiranya menerima tawaran daripada kelab pilihannya.
Dalam masa yang sama, Newcastle sedang mencari pengganti Alexander Isak, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool. Kelab itu sebelum ini menolak tawaran bernilai £110 juta (RM616 juta) daripada The Reds, dan tidak akan membenarkan pemergian Isak tanpa pengganti setanding.
Namun, kelebihan kini memihak kepada United kerana Sesko dikatakan lebih cenderung memilih untuk menyertai skuad kendalian Ruben Amorim.
United sebelum ini telah memperkuatkan jentera serangan dengan kehadiran Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo menerusi perpindahan yang dianggarkan berjumlah lebih £130 juta (RM728 juta). Kehadiran Sesko dijangka melengkapkan barisan serangan baharu kelab itu.
Sekiranya perpindahan ini dimuktamadkan, ia mungkin membuka ruang kepada Rasmus Hojlund untuk meninggalkan kelab dengan RB Leipzig dilihat sebagai destinasi paling berpotensi bagi penyerang Denmark itu.
Sesko kini menjadi sasaran utama selepas United gagal mendapatkan Liam Delap (Chelsea), Hugo Ekitike (Liverpool), dan Viktor Gyokeres (Arsenal).
Jika berjaya, Sesko akan menjadi rekrut ketiga utama dalam jentera serangan United musim panas ini selepas Cunha dan Mbeumo.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini