KUCHING, 6 Ogos 2025 – Beberapa jalan utama di pusat bandar Kuching akan ditutup secara berperingkat mulai 6 hingga 19 Ogos 2025 bagi memberi laluan kepada Kuching Street Parade 2025, yang akan berlangsung pada 16 Ogos dari jam 6.00 petang hingga 11.00 malam di Padang Merdeka.
Menurut kenyataan rasmi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Facebook, dua laluan utama yang terlibat ialah Jalan McDougall dan Jalan Tun Abang Haji Openg.
Penutupan jalan akan berlaku mengikut tiga fasa:
- 6–11 Ogos: Kerja persiapan
- 12–15 Ogos: Sesi raptai
- 17–19 Ogos: Kerja pembersihan dan pengemasan
Pihak DBKU menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Kuching Street Parade merupakan acara tahunan yang menghimpunkan pelbagai persembahan budaya dan perarakan kenderaan berhias, menarik ribuan pengunjung ke pusat bandar setiap tahun.
Sumber: FB DBKU
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini