PUTRAJAYA – Lebih 8.6 juta rakyat Malaysia akan menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 bermula esok, melibatkan peruntukan RM2 bilion bagi membantu isi rumah berpendapatan rendah menghadapi kos sara hidup.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap penerima layak akan menerima sehingga RM650, dengan peningkatan penerima seramai 300,000 orang berbanding 8.3 juta pada Fasa 1, Januari lalu.
Peningkatan ini hasil pembukaan permohonan dan rayuan STR sepanjang tahun, bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.
“Kerajaan Madani tidak mengambil enteng amanah untuk meningkatkan maslahat rakyat. Langkah ini memastikan tiada yang tercicir daripada menikmati manfaat negara,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, STR bukan sekadar bantuan tunai tetapi bertujuan memberi suntikan kewangan bagi membantu penerima mencapai kebebasan ekonomi.
Menurut Kementerian Kewangan, bayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mengikut kategori kelayakan. Penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR turut menerima bayaran ini.
Pemohon yang tidak tersenarai dalam pangkalan data STR perlu membuat permohonan baharu untuk proses verifikasi.
Semakan status kelayakan dan soalan lazim boleh didapati di Portal Rasmi STR. Orang ramai diingatkan supaya berwaspada terhadap pautan palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini