WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

MISTERI ‘MUMIA DUYUNG’ TERUNGKAI

'Makhluk' ini sebenarnya adalah bahan buatan manusia yang dicampur dengan beberapa bahagian ikan - Pen News/Hiroshi Kinoshita


Back To Whats Hot

TOKYO – Misteri selama hampir 300 tahun yang menyelubungi sejenis ‘makhluk’ dianggap mumia ikan duyung akhirnya terbongkar apabila ia didapati sebenarnya adalah bahan buatan manusia yang dicampur dengan beberapa bahagian ikan, lapor akhbar New York Post.

Makhluk sepanjang 30.4 sentimeter itu mula ditemui di Lautan Pasifik, luar pantai pulau Shikoku, Jepun, antara tahun 1736 hingga 1741.

Kumpulan penyelidik menyimpulkan bahawa makhluk yang dipuja oleh penduduk tempatan dan ditempatkan di sebuah tokong di bandar Asakuchi selama 40 tahun itu diperbuat daripada kain, kertas, kapas dan beberapa bahagian ikan.

Dengan ekspresi wajah menakutkan, gigi yang tajam, tangan diletakkan pada tepi kepala serta beberapa helaian ‘rambut’, ia kelihatan seperti manusia.

Namun, bahagian bawah badannya menyerupai ikan, sekali gus membuatkan makhluk itu dianggap sebagai ikan duyung yang telah dijadikan mumia.

Penduduk tempatan percaya sesiapa yang memakan daging makhluk itu tidak akan mati, bahkan ada juga yang berpendapat ia boleh membantu menamatkan pandemik Covid-19.

Bagi merungkai persoalan tersebut, sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains dan Seni Kurashiki melakukan kajian menggunakan imbasan tomografi berkomputer (CT).

Kini, mereka mendedahkan penemuan kajian dan mendakwa bahawa makhluk berkenaan sebenarnya hanya bahan buatan yang dihasilkan pada lewat 1800-an.

“Berdasarkan analisis kami dan sejarah penghasilan mumia di Jepun, kami boleh menyimpulkan bahawa ‘mumia duyung’ itu mungkin dihasilkan oleh manusia,” kata pakar paleontologi yang terlibat dalam projek itu, Takafumi Kato.

Imbasan X-ray yang dilakukan menunjukkan ia tidak mempunyai tulang belakang, tulang rusuk atau tulang rangka lain namun, sebahagian badannya diperbuat daripada ikan seperti rahang dan gigi.

Sumber: Kosmo Online!
Gambar: Pen News/Hiroshi Kinoshita
 
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini