WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

AMY SEARCH 'HILANG' LEBIH 600,000 PENGIKUT

Amy Search mengekalkan nama @akuamysearch pada akaun IG baharunya


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Mengumpul lebih 600,000 pengikut sejak mengaktifkan Instagram (IG) beberapa tahun lalu, bintang rock, Amy Search berputih mata apabila akaun media sosialnya itu digodam, hari ini.

Lebih menyedihkan, koleksi foto dan video yang dimuat naik dalam akaun itu, lenyap begitu sahaja.

Kali pertama berdepan masalah itu, Amy yang menyedari kejadian itu, subuh tadi, tidak menduga nasibnya sama seperti akaun media sosial selebriti lain yang pernah digodam.

“Jika selama ini, saya hanya membaca dan melihat teman artis melalui pengalaman sama, kali ini, giliran saya pula.

“Nampaknya, saya kena bermula dari langkah pertama. Sebelum ini, pengikut saya sudah lebih 600,000 orang.

“Bukan mudah hendak mencapai angka itu... Saya reda. Selama ini, media sosial seperti IG menjadi ruang buat saya mendekatkan diri dengan peminat dan mencari rezeki melalui promosi produk,” katanya kepada BH Online.

Sebagai artis senior, Amy tidak mahu ketinggalan memanfaatkan media sosial dan platform komunikasi lain untuk berhubung dengan peminat.

“Saya percaya media sosial termasuk IG mempunyai manfaat sendiri jika diguna dengan baik. Usia bukan halangan untuk kita menggunakan kemudahan ini,” katanya.

Amy atau nama penuhnya, Suhaimi Abdul Rahman mengaku sedih banyak kenangan dalam akaun IG itu lesap.

“Soal pengikut kita boleh kumpul balik. Tapi, foto dan video yang saya simpan hilang... Itu yang menyedihkan,” katanya.

Membuka akaun baharu, Amy Search mengekalkan nama @akuamysearch dan mula mengumpul peminat.

Sumber: Berita Harian