WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

"YA, IP MAN 4: THE FINALE FILEM KUNGFU TERAKHIR SAYA" - DONNIE YEN

Donnie Yen teruja datang ke Malaysia untuk bertemu peminat tempatan


Back To Whats Hot

Pelakon popular Hong Kong Donnie Yen mengakui filem Ip Man 4: The Finale, merupakan filem kungfu terakhir lakonannya.

Donnie berkata, keputusan tersebut dibuat kerana dia sudah terlalu lama berlakon dalam filem kungfu dan sudah tiba masanya memberi ruang kepada pelakon pelapis yang lebih muda.

Bagaimanapun kata Donnie, itu bukan bermaksud dia berundur daripada dunia lakonan atau tidak berlakon dalam filem aksi.

“Ya, filem Ip Man 4: The Finale adalah filem kungfu terakhir saya. Saya memulakan karier dengan berlakon dalam filem Drunken Tai Chi pada tahun 1984.

“Jadi sudah tiba masanya, saya berundur dan memberikan ruang kepada pelakon pelapis dan lebih muda.

“Tetapi jangan salah faham, saya bukan berhenti berlakon. Saya akan terus berlakon dalam filem aksi.

“Aksi dan kungfu dua benda yang berbeza,” katanya kepada Gempak.

Donnie berkata demikan ketika ditemui pada majlis sidang media Ip Man 4: The Finale pada petang Rabu di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Donnie sempat meluahkan rasa teruja dapat kembali ke Malaysia dan bertemu peminatnya di negara ini.

"Saya gembira dan teruja kerana diberi peluang untuk bertemu peminat di Malaysia,” kata pelakon berusia 56 tahun itu.

Turut hadir adalah pelakon, Denny Chan Kwok Kwan yang memegang peranan sebagai Bruce Lee, penerbit Raymond Wong dan penulis skrip Edmond Wong.

Mereka kini dalam siri jelajah mempromosikan filem Ip Man 4: The Finale dan mengadakan sesi bertemu peminat di Suria KLCC pada malam ini dan esok di 1 Utama Shopping Centre serta MBO The Starling, Damansara.

Ip Man 4: The Finale akan ditayangkan pada 20 Disember 2019 di pawagam seluruh negara.

Sumber: AWANI