WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 01.00pm

KERAJAAN TAK PERLU TAPIS, PENGGUNA TETAPKAN SENDIRI KANDUNGAN

Sharifah Amani berpendapat kerajaan tidak perlu menapis kandungan platform penstriman seperti Netflix kerana ia boleh ditetapkan sendiri pengguna


Back To Whats Hot

Pelakon, Sharifah Amani berpendapat kerajaan tidak perlu menapis kandungan platform penstriman seperti Netflix kerana ia boleh ditetapkan sendiri pengguna untuk disesuaikan dengan usia penonton.

Katanya, sebagai pengguna, mereka boleh menetapkan sendiri tetapan di Netflix sama ada mahu menyekat kandungan yang tidak sesuai ataupun tidak.

"Tak ada orang paksa kita untuk tonton. Kalau tak tahu bagaimana nak buat tetapan, ada tutorial bagaimana untuk melakukannya," katanya mengulas cadangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang mahukan kandungan drama di platform penstriman video, Netlix melalui proses tapisan kerajaan.

Amani, 33, yang ditemui di majlis pelancaran program sitkom Kopitiam: Double Shot di Petaling Jaya, hari ini berkata, kandungan yang dipaparkan di kaca televisyen tempatan juga ada yang tidak sesuai untuk penonton.

"Walaupun kandungan di saluran televisyen tak berbayar sekali pun, banyak yang perlu dipantau. Tapi, kenapa tak pantau?

"Banyak lagi masalah yang perlu kita selesaikan berkaitan industri seni. Royalti, perbelanjaan, hak pekerja seni dan banyak lagi perlu diambil berat," katanya.

Amani yang dikenali kerana lantang dalam melontarkan pendapat berkata, dia sendiri sudah letih untuk berkata apa-apa.

"Saya pun dah letih dan buntu untuk meminta pihak terbabit mencari penyelesaian serta jalan bagi membantu pekerja seni dalam isu yang disebutkan tadi," katanya.

Ahmad Idham dalam kenyataan di laman Twitter dan Instagramnya Ahad lalu menjelaskan, dia mengambil maklum keluhan ibu bapa di zaman siber ini yang bertanyakan akan kemasukan cerita tidak ditapis ketika merasmikan Seminar Keluarga Sejahtera 2019 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

"Apa yang saya cadangkan adalah untuk adakan satu kerjasama antara FINAS dan pihak NCWO (Pertubuhan Majlis Wanita Kebangsaan), mewujudkan satu forum atau seminar untuk membahaskan isu ini dalam konteks memperkasakan kandungan digital pada masa akan datang," tulisnya.

Dalam muat naik itu, Ahmad Idham juga berkata, FINAS tidak ada kuasa untuk menapis kandungan, namun ingin mencari jalan terbaik.

"Untuk makluman juga FINAS tiada kuasa untuk menapis, tetapi dalam konteks kandungan digital, FINAS sentiasa akan mencari jalan terbaik untuk memperkasakan kandungan tempatan supaya memberi impak yang positif kepada masyarakat dan negara," tulisnya.

Sumber: Harian Metro