WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

SHAZROUL AF4 MENINGGAL DUNIA

Penyanyi, Shazroul Fazlie, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada usus, jam 6.20 petang tadi


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua minggu bertarung nyawa di Hospital Kuala Lumpur (HKL), penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia (AF) musim keempat, Shazroul Fazlie, menghembuskan nafas terakhir jam 6.20 petang tadi.

Shazroul, 34, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada usus.

Kata adiknya, Nurul Ikmal Zahari, 30, selepas empat hari mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL, arwah abangnya dipindahkan ke wad biasa.

“Sepanjang menerima rawatan di hospital, memang tiada perubahan ketara abang akan kembali pulih. Ketika itu, kami bertawakal dengan apa sahaja ketentuan Allah,” katanya kepada BH Online.

Kata Nurul Ikmal, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Shazroul.

“Insya-Allah, kami sekeluarga akan menyempurnakan pengebumiannya, esok.

“Jenazah akan dimandikan di Masjid Bukit Antarabangsa dan disemadikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana,” katanya.

Pada 21 September lalu, ibu arwah, Noraini Elias, memaklumkan anaknya dirawat di ICU hospital itu selepas jatuh sakit secara tiba-tiba.

Arwah dimasukkan ke hospital buat kali pertama pada 10 September lalu, iaitu sehari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-34, dan kali kedua pada 21 September.

Sepanjang tempoh berkenaan juga, arwah menjalani dua pembedahan. Doktor turut melakukan pemotongan usus yang bocor, sepanjang kira-kira 90 sentimeter.

Menurut Noraini lagi, berat badan arwah turut menyaksikan penurunan secara drastik, daripada 61 kilogram (kg) kepada 45 kg.

Shazroul pernah menghasilkan album berjudul Cuma, selain berduet dengan Adzrin Azhar menerusi lagu Pencuri Hati.

Sumber: Berita Harian