WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

YANG SATU TANDA CINTA AKIM BUAT STACY

Vokalis Akim & The Majistret, Akim Ahmad, menyifatkan single terbaru kumpulan itu, Yang Satu begitu istimewa di hatinya


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Vokalis Akim & The Majistret, Akim Ahmad, menyifatkan single terbaru kumpulan itu, Yang Satu begitu istimewa di hatinya.

Dilancarkan pada 18 Ogos lalu, serentak hari ulang tahun kelahiran isterinya, Stacy yang ke-29, Akim berkata, lagu ciptaan Hang Nadim dan Laq itu umpama luahan hatinya terhadap insan yang dicintai.

“Hanya dia yang memahami segala isi hati saya dan kerana itu, saya tujukan Yang Satu khas buat isteri sebagai tanda penghargaan atas kasih sayangnya selama ini.

“Ia lebih istimewa apabila lagu itu dilancarkan sempena hari ulang tahun kelahiran Stacy. Saya anggap lagu itu sebagai hadiah paling bermakna buat isteri tercinta.

“Saya harap Stacy dapat mengamati setiap baris ayat dalam lagu ini yang jelas menterjemahkan segala perasaan saya terhadapnya,” kata Akim.

Yang Satu diterbitkan Rhythm & Rhyme Music yang diusahakan Akim bersama Stacy, manakala Nova Music bertindak sebagai pengedar.

“Jika dua single terdahulu kami iaitu Rampas dan Ladida lebih cenderung kepada muzik segar, kali ini kami beralih kepada lagu balada. Lagipun, sudah lama peminat menantikan kemunculan lagu balada terbaru kami.

“Berbekalkan melodi mesra telinga, lagu ini masih menjanjikan sajian muzik segar apabila disuntik elemen New Wave Raggae, selain mengekalkan identiti bunyi yang sebati dengan Akim & The Majistret,” katanya.

Ditubuhkan pada 2014, Akim & The Majistret turut dianggotai Wan (dram), Freddy (gitaris utama), Gjie (gitaris kedua), Zimi (gitaris ketiga), Fairuz (bass), Afiez (keyboard) dan Rajwan (dram digital).

Mereka mula bertapak menerusi single Mewangi pada 2014 dan melakar kejayaan membanggakan, termasuk dinobatkan sebagai Juara Lagu dan Persembahan Terbaik menerusi lagu, Potret pada kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-30 (AJL 30).

Sumber: Berita Harian