WHAT'S NEXT

RUAI CATS

01.00pm - 04.00pm

OLABOLA MERDEKA TOUR RAI SEMANGAT PATRIOTISME

Enfiniti Malaysia Sdn Bhd sekali lagi mementaskan OlaBola Musical, kali ini menjelajah ke empat lokasi di seluruh negara


Back To Whats Hot

KUALA LUMPUR: Dengan objektif mahu mengembalikan semangat kemerdekaan dan keharmoniaan di Malaysia, Enfiniti Malaysia Sdn Bhd sekali lagi mementaskan OlaBola Musical, kali ini menjelajah ke empat lokasi di seluruh negara.

OlaBola Merdeka Tour diharapkan dapat mengingatkan masyarakat tentang penyatuan rakyat Malaysia suatu ketika dahulu, serta bagaimana mahu kembali bangkit selepas gagal.

"Semangat Hari Merdeka dan Hari Malaysia itulah yang kami mahu bawa dalam siri jelajah ini supaya dapat kita raikannya dengan lebih meriah.  Saya rindu nak rasa sambutan seperti dahulu, merdeka dirai penuh semangat. Pergilah ke mana pun, kita boleh rasa semangat dan bahang kemerdekaan.

"Tetapi sekarang, adakalanya rasa macam cuti umum biasa saja. Saya harap masyarakat kita tidak lupa apa yang membuat kita hebat sebagai sebuah negara dan mengapa kita perlu bersyukur dilahirkan di negara ini," kata pengarah OlaBola Merdeka Tour, Puan Sri Tiara Jacquelina.

Tiara bersama barisan pelakon OlaBola Merdeka Tour.

Bagi pelakon, pembabitan dalam OlaBola Musical Tour merupakan satu sumbangan kecil ke arah perpaduan, apatah lagi ketika negara dilanda beberapa isu yang dilihat seakan-akan dijadikan polemik untuk menggugat keharmonian antara kaum.

"Ini merupakan satu platform untuk kita sebagai pelakon, kerana platform kita tidaklah terlalu besar untuk pengaruh orang ramai, iaitu melalui naskah-naskah yang kita hasilkan seperti OlaBola dan drama-drama lain di televisyen.

"Saya harap mereka yang menonton dapat pengajaran. Tak kisah apa saja pengalaman yang dilalui, kita perlu berfikir lebih rasional sebab tak lama lagi sudah nak masuk tahun 2020, jadi perkara yang mengganggu hubungan antara kaum kita lupakan dan fokus kepada keharmonian," ujar pelakon Luqman Hafidz yang membawa watak Ali.

"OlaBola bukan sekadar filem atau teater tetapi ia sangat bermakna kepada saya kerana akhirnya saya dapat sumbangkan sesuatu kepada negara.

"Sejak kecil saya impi nak buat sesuatu untuk negara, dan OlaBola jadikan impian saya itu satu kenyataan dengan memberi mesej perpaduan kepada penonton," kata pelakon yang membawa watak Ong Tiam Chai, Lim Jian Wen.

Mereka ditemui pada sidang media pengumuman OlaBola Merdeka Tour di ibu negara, minggu lalu.

Turut dilangsungkan adalah pelancaran single dan video muzik 'I Cover You', nyanyian Altimet, yang merupakan lagu tema untuk siri jelajah itu.

OlaBola Merdeka Tour, arahan Puan Sri Tiara Jacquelina, bakal singgah ke empat lokasi iaitu Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuantan.

Pas-pas masuk percuma boleh didapati di semua lokasi persembahan, dan peminat bolehlah melayari laman web www.olabolamusical.com untuk mendapatkan maklumat lokasi persembahan.

Sumber: AWANI