WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND BEAT

04.00pm - 08.00pm

WESTLIFE MENGGAMIT MEMORI

Biarpun sudah menghampiri usia 40-an, Westlife masih mampu menjayakan sebuah persembahan hebat sama seperti zaman kegemilangan dahulu


Back To Whats Hot

Deruan memori dalam setiap melodi. Mungkin penyataan tersebut paling sesuai menterjemah suasana dalam setiap momen sewaktu menyaksikan konsert 'The Twenty Tour' kumpulan pop popular sekitar lewat 1990-an, Westlife di Stadium Malawati Shah Alam pada 8 Ogos lalu.

Westlife yang dianggotai Shane Filan, Kian Egan, Nicky Byrne dan Mark Feehily ternyata membawa aura tersendiri. Mereka masih mampu memenuhkan stadium tersebut dengan 7,000 peminat yang kebanyakan terdiri daripada golongan berusia 30-an ke atas.

Ketika keempat-empat sosok anggota popular itu muncul di pentas dengan lagu pembukaan Swear It Again, stadium bergema dengan sorakan peminat yang ternyata sangat teruja melihat kumpulan pop pujaan mereka sewaktu remaja di depan mata.

Sejak berpecah pada tahun 2012, itulah kali pertama mereka bersatu semula di atas pentas bagi meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan Westlife dalam arena muzik antarabangsa.

Biarpun hanya tinggal berempat selepas seorang lagi anggotanya, Brian McFadden mengundurkan diri pada tahun 2004, namun Westlife masih gah memenuhi undangan konsert jelajah demi peminat di serata dunia.

“Ramai yang mempersoalkan kenapa kami tidak memanggil Brian untuk bersama-sama dalam konsert jelajah ini sedangkan dia sudah lama menarik diri daripada Westlife.

“Titik permulaan konsert The Twenty Tour adalah pada tahun 2012, ketika kami membubarkan Westlife. Jadi, konsert ini memang tiada kaitan dengan Brian,” ujar Nicky dalam satu temu bual bersama sebuah majalah keluaran Britain pada tahun lepas.

Tersentuh

Seiring usia, tidak dapat dinafikan energi mereka kali ini mungkin tidak serancak sewaktu muda dahulu. Bagaimanapun, aspek tersebut tidak menghalang Westlife untuk beraksi pada tahap terbaik.

Dapat dilihat mereka mencuba banyak perkara baharu seperti susunan muzik agar sesuai dengan vokal terkini, serba sedikit gerak tari yang sangat comel untuk ditonton dan paling penting, interaksi dengan penonton yang tidak putus.

Masing-masing bergilir berucap sambil memberitahu penonton, betapa mereka menghargai sokongan yang diberikan selama Westlife ditubuhkan.

“Kami berada di sini pada hari ini disebabkan sokongan anda yang tidak jemu mahu melihat kami berkarya biarpun selepas tujuh tahun berpecah.

“Kami sayangkan anda dan terima kasih Malaysia kerana sentiasa membuatkan kami berasa dialu-alukan setiap kali berkunjung ke negara ini,” luah Kian yang disusuli tepukan gemuruh penonton.

Inisiatif yang ditunjukkan Kian, Mark, Shane dan Nicky untuk mengucapkan terima kasih kepada penonton secara bergilir adalah sesuatu yang patut dipuji.

Mungkin kandungan kata-katanya adalah sama berasaskan rasa terima kasih namun usaha mereka untuk menyampaikan sendiri ungkapan tersebut menyentuh hati peminat dan menjadikannya lebih berharga.

Kenangan

Hampir dua jam konsert berlangsung, boleh dikatakan tiada satu pun lagu yang tidak dapat dinyanyikan bersama oleh penonton.

Antara lagu wajib yang dipersembahkan pada malam tersebut adalah Uptown Girl, I Have A Dream, Seasons In The Sun, Flying Without Wings, If I Let You Go, When You Looking Like That, Queen Of My Heart, World Of Our Own, Fools Again dan juga single terbaharu mereka, Hello My Love.

Ketika sudah berada pada penghujung konsert, mereka berempat menjadikan suasana lebih santai apabila memilih untuk duduk di bangku sambil menyanyikan beberapa buah lagu hit secara akustik.

Kata Mark, mereka tidak mampu menyampaikan semua lagu Westlife untuk sebuah konsert berdurasi dua jam, lalu yang cuba dilakukan adalah menyelitkan apa jua judul untuk dinyanyikan.

“Satu perasaan yang sangat mengagumkan apabila peminat tidak pernah lupa lirik lagu-lagu nyanyian kami biarpun selepas sekian lama.

“Malaysia, anda peminat terbaik. Semoga kita akan berjumpa lagi pada lain waktu dalam suasana yang lebih meriah,” ujar Mark sebelum tirai konsert ditutup dengan lagu You Raise Me Up.

Ironi, hampir 10 tahun lalu, penulis pernah menonton muzik video lagu kumpulan itu bertajuk I Lay My Love On You yang merakam perjalanan konsert jelajah mereka di Tokyo, Jepun.

Tidak pernah terdetik bahawa suatu hari nanti, penulis juga berpeluang berada dalam suasana yang sama dan perasaannya sungguh menakjubkan.

Untuk 20 tahun yang menghiasi zaman remaja kami semua, terima kasih Westlife!

Kembali bersatu selepas tujuh tahun, Westlife menggegarkan Stadium Malawati Shah Alam menerusi konsert The Twenty Tour.

Sumber: Kosmo! Online