WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

SAYA BUKAN PENIPU - FATTAH AMIN

Fattah Amin tiba-tiba menjadi bualan banyak orang apabila dituduh enggan mempromosikan produk makanan kesihatan


Back To Whats Hot

Sekitar penghujung tahun lalu, nama pelakon Fattah Amin tiba-tiba menjadi bualan banyak orang apabila dituduh enggan mempromosikan produk makanan kesihatan keluarannya, MRP Sup Diet dan Berrytox yang diniagakan di bawah syarikat MRP International Sdn. Bhd. (MRP International). Tindakan Fattah didakwa menyebabkan ejen yang telah melaburkan wang demi produk berkenaan mengalami kerugian.

Menerusi satu kiriman e-mel kepada sebuah portal hiburan, seorang ejen produk berkenaan mendakwa telah melabur RM1,500 dalam sistem yang diberi nama Fattah’s Partner Programme (FPP) dan wang berkenaan boleh digunakan untuk membeli produk keluar MRP International dengan harga yang murah.

Namun, disebabkan Fattah tidak lagi mempromosikan MRP Sup Diet dan Berrytox, produk-produk yang dibeli secara pukal oleh ejen-ejen terlibat tidak terjual. Lebih memburukkan keadaan, pertanyaan kebanyakan ejen menerusi kumpulan WhatsApp juga tidak dilayan.

Atas alasan tersebut, ejen yang terlibat di bawah FPP menganggap diri mereka dianiaya oleh Fattah dan berharap agar wang pelaburan mereka dikembalikan.

Lama membiarkan isu berkenaan terbungkus tanpa peleraian dan enggan namanya terus tercalar dek polemik perniagaan sendiri, Fattah akhirnya tampil memberikan kenyataan menerusi sidang akhbar di ibu pejabat pengurusan baharunya, Universal Music Malaysia di Petaling Jaya, Selangor.

Ditemani peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hasan daripada Azaine & Fakhrul Advocates & Solicitors berkata, Fatah bertegas, tidak pernah berniat menipu atau menganiaya mana-mana pihak.

Menurut pelakon filem KL Special Force itu, masalah promosi mula timbul selepas rakan kongsinya, iaitu syarikat pengurusan lama, Fastyle Asia menarik diri daripada MRP International.

“Selain saya, pihak pengurusan lama iaitu Fastyle Asia merupakan antara rakan kongsi dalam MRP International. Masalah mula timbul setelah mereka tidak lagi menguruskan saya dan keluar daripada syarikat.

“Disebabkan tiada pengurusan ketika itu dan berlaku beberapa isu dalaman, saya membuat keputusan untuk tidak mempromosikan produk berkenaan.

“Namun, ingin saya tegaskan bahawa saya tetap akan berusaha untuk memulangkan kembali wang ejen dan stokis yang terlibat,” katanya.

Bagaimanapun, usaha Fattah untuk memulangkan kembali wang agen dan stokis tidak berhasil apabila seorang lagi rakan kongsinya, Kamarul Ariff Abd. Karim gagal dihubungi sejak tahun lalu.

“Saya memang ingin membantu ejen dan stokis yang terlibat. Selain dapat memulangkan kembali wang mereka, saya juga dapat membersihkan nama daripada terus dituduh sebagai pelakon penipu dan tidak bertanggungjawab terhadap perniagaan sendiri.

“Tetapi, usaha tersebut gagal kerana Kamarul yang mempunyai akses kepada kewangan syarikat gagal dihubungi. Biarpun isu ini telah tular sekitar enam bulan lalu, namun Kamarul tetap tidak mahu menjawab panggilan saya,” katanya.

Sukar tidur

Usaha Fattah selama berbulan-bulan untuk menghubungi Kamarul tidak berhasil sehingga memaksanya mengambil keputusan untuk membuat satu laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Mac lalu.

Fattah menjelaskan, walaupun selepas membuat laporan polis dan menghantar surat peguam kepadanya, Kamarul masih berdiam diri. Namun, apabila pelantun lagu Wanita Terakhir itu mengambil keputusan untuk mengadakan sidang akhbar bagi membersihkan namanya dan menjelaskan perkara sebenar, Kamarul akhirnya menghubungi peguam Fattah.

Ditanya apakah rundingan yang bakal dilakukan, Fattah berkata, dia hanya boleh menunggu cadangan penyelesaian daripada Kamarul.

“Saya tidak boleh memberikan sebarang kenyataan kerana belum tahu apa yang ingin dibincangkan.

“Kalau boleh, saya mahu isu ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya yang mengakui sukar untuk tidur malam sejak dilabel penipu oleh ejen dan stokis.

Fattah juga menjelaskan, dia masih belum memutuskan untuk terus bersama dengan MRP International atau meninggalkan syarikat tersebut.

“Apa yang penting adalah wang ejen dan stokis dikembalikan. Saya tidak kisah untung atau rugi asalkan mereka mendapatkan hak mereka kembali,” ujar Fattah jujur.

Mengakui berasa bersalah, Fattah tidak sanggup melihat isu berkenaan berterusan memandangkan ada antara ejen dan stokis terdiri daripada peminatnya.

“Sudah tentu saya berasa bersalah. Hal ini kerana, ada antara peminat yang benar-benar ingin berniaga dan mendaftarkan nama sebagai ejen dan stokis.

“Saya faham, pihak kami lambat membuat kenyataan rasmi. Tetapi, banyak masa dihabiskan untuk mengumpul bukti supaya isu ini dapat diselesaikan secara profesional.

“Jujurnya, saya berharap sangat agar isu ini diselesaikan secepat mungkin,” ujarnya lagi.

Sebagai pelakon yang baru sahaja berjinak-jinak dalam perniagaan, Fattah memandang isu tersebut sebagai satu pengajaran buat dirinya.

Selepas ini, dia harus lebih berhati-hati jika ingin meneruskan cita-cita dalam bidang perniagaan.

“Apa yang berlaku dijadikan pengajaran. Mungkin selepas ini saya perlu lebih berhati-hati jika ingin meneruskan cita-cita dalam bidang perniagaan.

“Saya juga tidak gusar untuk terus mendapatkan kepercayaan pelabur memandangkan berada sebelah pihak yang benar,” katanya menutup perbualan.

Dituduh menganiaya ejen dan stokis akibat kegagalan jualan produk makanan kesihatannya, MRP Sup Diet dan Berrytox, Fattah Amin tampil membersihkan reputasinya yang terjejas.

Sumber: Kosmo Online